DALAM tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan situasi banjir kilat di beberapa buah negeri hingga mengakibatkan kerosakan harta benda mencecah lebih ratusan juta ringgit.
Sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang hilang tempat tinggal dibawa arus deras selain kereta ditenggelami air dan lumpur.
Di Selangor, banjir kali ini merupakan banjir yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.
Segala-galanya musnah sekelip mata. Skala kemusnahan di beberapa negeri bagi infrastruktur dan aset awam sahaja dianggarkan ratusan juta ringgit, tidak termasuk harta persendirian atau perniagaan.
Apa yang menjadi keutamaan adalah perhatian terhadap beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan ahli keluarga yang kehilangan nyawa akibat bencana itu.
Ada yang sempat menyelamatkan harta benda tetapi ramai juga terpaksa melihat begitu sahaja barang-barang berharga mereka ditenggelami air termasuk kereta.
Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, kerosakan akibat banjir yang melanda seluruh negara sejak Jumaat dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.
Menurutnya, anggaran itu mengambil kira kepadatan penduduk terutama di Lembah Klang selain skala banjir kali ini yang menjejaskan lebih banyak kawasan.
"Kalau lihat skala rumah tenggelam, ia melibatkan kawasan agak besar. Tentunya situasi ini membabitkan kerosakan alat elektronik rumah dan kereta. Banjir kali ini berlaku dalam keadaan mengejut.
"Selain itu, kita lihat ada juga sekolah, pasar raya serta infrastruktur yang terkesan. Mungkin ratusan juta ringgit kos kerosakan harta benda kerana melibatkan semua kawasan di Lembah Klang secara serentak,” katanya.
Bantuan
Mengulas mengenai bantuan diperlukan ketika ini, Dr Mohd Daud berkata, untuk peringkat awal, kerajaan perlu memastikan kecukupan bekalan makanan dan tempat perlindungan mangsa terlibat.
Katanya, bantuan selepas banjir pula perlu mengutamakan pemulihan infrastruktur utama rumah mangsa seperti pendawaian elektrik dan bekalan air bersih.
"Ini kerana apabila rumah tenggelam ini dan berlaku secara mengejut pula, banyak harta benda tidak dapat diselamatkan seperti barangan asas perabot dan alat elektronik seperti peti ais di samping pakaian anak dan keperluan sekolah. Ini melibatkan kos yang tinggi.
"Jadi, bantuan asas seperti ini termasuk sara hidup perlu diberikan perhatian oleh badan kebajikan kerajaan sendiri untuk tempoh tiga bulan bagi membantu mangsa banjir pulih dengan segera,” katanya.
Sehubungan itu, pada Ahad, kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagai usaha menangani impak banjir dan pengaktifan rangkaian bencana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan penyaluran RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)/Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) untuk memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir disebabkan Monsun Timur Laut atau terkesan daripada apa-apa bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.
Dengan bantuan yang disediakan ini diharap dapat meringankan sedikit sebanyak beban mangsa banjir. Semoga banjir kali ini akan bertambah baik memandangkan hujan sudah reda di beberapa kawasan dan air juga semakin surut.
Penduduk yang terjejas pula diharap terus tabah menghadapi dugaan besar ini apatah lagi bencana ini berlaku pada saat kita masih bergelut dengan Covid-19 yang masih belum reda. Di harap tahun 2022 akan memberi sinar baharu untuk kita semua.
* Muhammad Yusainy Mohamad Yunus ialah wartawan Sinar Harian