Antara koordinasi kerajaan dan koordinasi rakyat

Iklan
Orang ramai bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bekerjasama untuk mengeluarkan mangsa banjir di sebuah taman perumahan di Bukit Kemuning- Foto Bernama

BANJIR yang berlaku di beberapa negeri terutamanya Selangor harus dijadikan pengajaran dan diambil iktibar oleh kerajaan sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri dalam aspek pengurusan bencana.

Pengajaran ini terutamanya daripada aspek koordinasi dan komunikasi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kerana jika ia tidak diambil iktibar, kemungkinan apa yang berlaku di Selangor khususnya boleh berlaku lagi di masa hadapan.

Iklan
Iklan

Ketiadaan koordinasi dilihat ramai pihak antara penyebab bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terperangkap atau terputus hubungan lambat sampai.

Bantuan ini memakan beberapa hari bahkan sehingga kini ada di sesetengah tempat atau kawasan menerima bantuan lambat.

Iklan

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail turut sama berpendapat bahawa aspek koordinasi yang lemah antara faktor penyebab bantuan kepada mangsa-mangsa banjir lewat sampai.

Selain daripada aspek terbabit, Rodziah berkata, aspek ketelusan juga adalah antara perkara penting dalam mengendalikan masalah bencana seperti banjir.

Iklan

"Saya sendiri telefon pihak bomba, polis boleh tolong (beritahu) tak apa situasi sebenarnya. Macam mana, boleh sampai pukul berapa, ada ke, tidak ada ke.

"Tetapi semua soalan-soalan kami ini tidak dijawab. Jadi kita rasa putus asa (hopeless) dan kita rasa tidak berdaya (helpless),” katanya.

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi, maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut.

Sementara itu, walaupun koordinasi melibatkan kerajaan lemah, tetapi koordinasi antara rakyat Malaysia amat tinggi dan pantas dalam membantu mangsa banjir.

Semua pihak, tidak kira bangsa atau agama saling memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam bencana ini hanya dengan menggunakan ‘hujung jari’.

Dengan #DaruratBanjir, pelbagai info seperti lokasi pusat pemindahan sementara (PPS), mereka yang memerlukan bantuan, barangan yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir boleh dilihat menerusi media sosial.

Kesemuanya ini, hanyalah melalui ‘koordinasi media sosial’ yang dibuat secara jauh oleh Keluarga Malaysia.

Koordinasi ini tidak memerlukan semua pihak tertunggu-tunggu beberapa hari atau tengah malam tentang tindakan-tindakan yang akan dilakukan, sebaliknya hanya menggunakan ‘hujung jari’.