Tebuk benteng sungai dilaksana segera keluar 'banjir genang' Sri Muda

Iklan
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pusat Arahan Bencana Negara (NDCC) malam Isnin. - Foto Bernama
CYBERJAYA - Kaedah penebukan benteng dan pengepaman air banjir akan dilaksana secepat mungkin oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS), bagi mengatasi masalah air genang yang sedang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam, berikutan banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, 21 pam akan digunakan untuk mengalirkan air genang itu ke Sungai Klang.

"Lokasi tepat untuk penebukan benteng itu masih belum dimuktamadkan dan ia akan diputuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.

"Kerja penebukan sementara ini perlu dilaksanakan segera, kerana keadaan air genang dan sekiranya dibiarkan akan berlarutan sehingga dua minggu,” katanya pada sidang media khas di sini pada Isnin.

Sebahagian mangsa banjir yang masih terkandas di atas bumbung rumah mereka ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 pada Isnin. - Foto Bernama
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Mengenai insiden banjir di Taman Sri Muda, beliau berkata, kira-kira 2,000 penduduk masih terperangkap, kerana enggan berpindah dari kawasan tersebut.

"Antara sebab mereka tak nak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), kerana risau dijangkiti wabak Covid-19.

"Kami akan terus membantu mereka yang enggan berpindah ini dengan cara menghulurkan bantuan makanan dan keperluan asas,” katanya. - Bernama