Banjir: Rakit tong air 'penyelamat’ bantu hampir 100 penduduk

Iklan
Rakit tersebut mengambil masa kira-kira sejam untuk disiapkan, dan boleh mengangkut maksimum enam orang. - Foto Bernama

SEPANG - Rakit ‘tong air’ yang asalnya dibuat untuk mengangkut barang peribadi, akhirnya menjadi rakit ‘penyelamat’ memindahkan hampir 100 penduduk Kampung Sri Tanjung, Dengkil, di sini yang terjejas akibat banjir.

Dibina sekumpulan anak muda kampung berkenaan, rakit tersebut diperbuat daripada empat tong air besar sebagai pelampung, selain kepingan pintu dan kayu terpakai sebagai tempat duduk, dawai pengikat dan batang buluh untuk dayung.

Iklan
Iklan

Muhammad Azrul Hisyam Mazlan, 26, berkata, idea membina rakit itu timbul apabila air banjir mula naik di kampung itu pada Sabtu lalu dan bersama rakan-rakannya, mereka berasa perlu berbuat sesuatu untuk menyelamatkan barang peribadi seperti motosikal.

"Mulanya kami buat untuk diri sendiri, tetapi selepas tengok ramai orang kampung terkandas dalam rumah dan tiada akses ke jalan utama, kami gunakan rakit itu untuk meredah banjir dan menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Tanjung pada Isnin.

Iklan

Muhammad Azrul yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Sepang berkata, rakit tersebut mengambil masa kira-kira sejam untuk disiapkan, dan boleh mengangkut maksimum enam orang.

Katanya, dengan menggunakan rakit berkenaan mereka memindahkan mangsa banjir, terutamanya warga emas dan kanak-kanak ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Kampung Ahmad Razali, Dengkil, sementara menunggu bantuan lain tiba.

Iklan

Dengkil antara kawasan yang terjejas akibat banjir pada Sabtu lalu, dan tinjauan mendapati, kawasan seperti Taman Permata dan Kampung Semarang masih ditenggelami air, manakala kerja-kerja pembersihan mula dilakukan penduduk di kawasan yang telah surut. - Bernama