SHAH ALAM - Sebanyak sembilan kematian dicatatkan akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di sini sejak Ahad sehingga Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, setakat ini, dua mangsa telah ditemukan maut pada 19 Disember manakala tujuh lagi mangsa ditemukan pada 20 Disember.
"Keseluruhan angka kematian yang melibatkan mati lemas adalah seramai sembilan orang, tiga daripadanya adalah wanita, manakala baki enam mangsa adalah lelaki.
"Dua daripada tiga wanita berkenaan adalah berbangsa Cina dan seorang lagi belum dapat dikenal pasti, manakala tiga daripada enam mangsa lemas lelaki belum dikenal pasti, seorang berbangsa India, seorang warganegara India dan seorang berbangsa Cina," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, dua mangsa yang ditemui pada 19 Disember masing-masing merupakan warga tempatan dan warga asing.
"Pada 19 Disember kira-kira jam 4.15 petang, satu lelaki warganegara India ditemui di lampu isyarat Kemuning Utama Seksyen 33.
"Pada jam 8.03 malam pula, satu lelaki Cina telah ditemui di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman Seksyen 22," katanya.
Menurutnya, pada 20 Disember tujuh mangsa banjir telah ditemukan maut.
"Penemuan pertama melibatkan seorang lelaki tidak dipastikan identiti ditemui kira-kira jam 12.39 pagi di Pekan Seri Muda, kira-kira jam 5.17 pagi pula, seorang mangsa wanita yang tidak dikenal pasti identiti ditemui di Persiaran Budiman, mangsa berikutnya ditemui kira-kira jam 8 pagi di Subtek Bencana, Seksyen 25.
"Kemudiannya, kira-kira jam 9.39 pagi, seorang lelaki ditemukan di dalam longkang di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13, kemudiannya kira-kira jam 4 petang, dua wanita berbangsa Cina ditemui di rumah teres Seksyen 25 dan mangsa terakhir ditemui kira-kira jam 7.40 petang di Subtek Bencana Seksyen 25," katanya.
Baharudin berkata, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga selain sentiasa bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan akibat daripada banjir.
"Kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan banjir atau penemuan mayat mangsa banjir ke Bilik Gerakan IPD Shah Alam di talian 03-55202000/ 03-55202022 untuk tindakan lanjut," katanya.