Kadar kitar semula meningkat, sasar pencapaian 40 peratus menjelang 2025

Iklan
Reezal Merican melawat hasil barangan kitar semula oleh peserta tentera, Zazali Ibrahim @ Hamid pada majlis sambutan HKSK 2021 di Putrajaya.

Kadar Kitar Semula Kebangsaan pada tahun ini meningkat kepada 31.52 peratus berbanding 30.67 peratus pada tahun lepas dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.3 juta tan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kadar itu selari dengan sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kitar semula menjadi semakin penting kerana kaitannya dengan perubahan iklim dan kerosakan bumi yang saban hari berlaku disebabkan perbuatan oleh tangan-tangan manusia.

"Kerosakan yang berlaku sama ada di daratan mahupun di lautan sememangnya disebabkan oleh perbuatan penghuni bumi itu sendiri.

Iklan

"Kita diamanahkan bukan sekadar menjadi khalifah mentadbir manusia tetapi turut mentadbir urusan kebajikan bumi yang kita diami. Manusia tidak seharusnya menjadi perosak dan menyebabkan bumi ini tidak mampan untuk generasi akan datang,” tegasnya ketika berucap merasmikan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2021 di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib;

Iklan

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Rizalman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar.

Dr Wan Johan Ariff (kanan) menerima anugerah ‘Adiwira Bumi’ atas sikap ‘berani tegur’ terhadap individu yang membuang sampah merata-rata.

Beliau berkata, pertambahan penduduk Malaysia saban tahun dan dijangka mencapai 41 juta pada 2040 secara tidak langsung akan meningkatkan penjanaan sisa pepejal.

"Rakyat negara ini perlu mempunyai pembudayaan sepanjang hayat berkaitan kitaran semula. Jadikan amalan kitar semula sebagai satu budaya sepanjang hayat dan norma baharu,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang merangka dasar pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan Penggunaan dan Pengeluaran Mampan (SCP).

"Pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap dan selaras dengan hierarki pengurusan sisa dapat mengurangkan isu kos pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat,” katanya.

Pada majlis HKSK 2021, Reezal Merican turut menyampaikan anugerah ‘Adiwira Bumi’ kepada doktor gigi, Dr Wan Johan Ariff Wan Daud atas sikap ‘berani tegur’ terhadap individu yang membuang sampah merata-rata dan pesara tentera, Zazali Iberahim@Hamid atas inisiatif kitar tinggi (upcycling) tayar terpakai.

KPKT turut memberi pengiktirafan kepada sekolah dan masyarakat yang turut terlibat dalam program pemerkasaan kitar semula iaitu seramai lapan pemenang Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) dan 20 penerima Pertandingan Waste to Art Competition 2021.

HKSK 2021 turut menyaksikan persetujuan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara SWCorp dengan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia, Kloth Malaysia Sdn Bhd dan WasteToWealth Holding (M) Sdn Bhd.

Pameran karya Waste of Art 2021.

Kerjasama

Sementara itu, Ismail yang mengulas mengenai MoU yang ditandatangani menyifatkan ia mempunyai situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak.

Mengambil contoh MoU yang ditandatangani bersama Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia, beliau berkata, SWCorp akan membantu pusat-pusat kitar semula dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit agar ia lebih terurus.

"Kami di SWCorp meminta lebih banyak lagi program-program kitar semula. Salah satunya menerusi Tzu Chi yang mempunyai ramai sukarelawan,” ujarnya.

Menurutnya, sasaran untuk mencapai sebanyak 40 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2025 merupakan satu cabaran kepada SWCorp.

Pihaknya sedang berusaha meneroka dan merancang sektor-sektor baharu seperti fabrik, sisa binaan dan kitar semula sisa makanan.

Program-program ‘food bank’ yang dulu pernah diperkenalkan akan diusahakan semula supaya makananmakanan ini dikumpulkan untuk diberikan kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan sebelum makanan-makanan ini dibuang.