KADAR turun naik pasaran saham Malaysia pada tahun ini banyak dipengaruhi oleh faktor sentimen pelabur berbanding dengan prestasi ekonomi negara.
Ketua Penyelidik Ekonomi TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata, keadaan ekonomi yang masih belum pulih ditambah dengan ketidaktentuan politik negara menyebabkan pelabur masih belum meletakkan keyakinan sepenuhnya untuk melabur di Malaysia.
Menurutnya, berdasarkan kadar pelaburan asing bermula Januari hingga November 2021, negara masih lagi merekodkan kadar pulangan keluar dari segi pelaburan asing sebanyak RM2.1 bilion.
"Kadar pelaburan asing pada tahun 2020 adalah lebih tinggi dengan RM24.6 bilion berbanding yang dicatatkan pada tahun ini. Ada berlaku peningkatan, tetapi ia masih lagi mencatatkan pelaburan keluar.
"Kita mahu pelabur asing datang masuk melabur dalam pasaran saham Malaysia, namun susulan sentimen yang wujud, mereka mungkin hanya melabur dalam jumlah yang sedikit berbanding sebelum penularan pendemik Covid-19 dahulu.
"Mungkin juga prospek di negara lain seperti di Amerika Syarikat (AS) menjanjikan pulangan yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
"Ia sebenarnya lebih kepada sentimen. Jika kita tengok prestasi ekonomi suku keempat tahun ini ia kelihatan lebih pulih, tetapi kenapa masih lagi mencatatkan aliran keluar? Ini antara sebab mengapa pelabur tidak begitu yakin,” katanya kepada Sinar Harian.
Shazma Juliana berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama dan suku ketiga tahun akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, beliau meramalkan KDNK bagi suku keempat akan meningkat lebih daripada enam peratus.
"Kedudukan ekonomi beransur pulih tetapi dalam keadaan yang sederhana berdasarkan inisiatif kerajaan seperti pakej rangsangan ekonomi, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menyebabkan proses pemulihan itu berlaku secara perlahan-lahan dan diharapkan akan berterusan hingga tahun 2022.
"Kerajaan menganggarkan KDNK negara akan berada dalam lingkungan tiga ke empat peratus pada tahun ini. Jadi, masih lagi dalam julat jangkaan yang disasarkan oleh kerajaan,” ulasnya.
Dalam pada itu, katanya, penularan pandemik Covid-19 turut meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, kadar pengangguran pada Ogos 2021 menurun kepada 4.6 peratus susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kembali.
Selain itu, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi meliputi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan subsidi upah dapat membantu majikan untuk mengekalkan pekerja masing-masing sekali gus mengurangkan pengangguran dalam negara.
"Bagi tahun 2022, kerajaan menyasarkan purata kadar pengangguran dalam lingkungan empat ke 4.5 peratus bergantung pada perkembangan ekonomi.
"Sekarang ini, risiko ekonomi masih ada ditambah pula dengan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron, namun kita mengharapkan permulaan ekonomi akan beransur pulih secara berterusan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Shazma Juliana menjelaskan, banyak pihak cuba membandingkan krisis yang dihadapi Malaysia sekarang dengan yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998, sedangkan situasi ketika ini tidak hanya melibatkan krisis ekonomi, tetapi juga kesihatan.
Ujarnya, krisis yang berlaku pada tahun 1997 juga kebanyakannya hanya melibatkan Asia Tenggara, sedangkan kali ini ia merangkumi krisis ekonomi untuk seluruh penduduk dunia.
"Kita lihat walaupun tahap ekonomi negara China yang merupakan salah satu peneraju ekonomi dunia merosot, KDNK mereka masih lagi positif.
"Bagaimanapun mengikut peraturan, jika KDNK mencatatkan pertumbuhan kurang daripada enam peratus, sudah dikira sebagai krisis ekonomi kepada mereka.
"China pula ialah salah satu rakan dagangan utama Malaysia selain Singapura dan Amerika Syarikat, jadi apa sahaja yang berlaku dalam rakan dagangan antarabangsa kita akan memberi kesan secara tidak langsung kepada prestasi ekonomi Malaysia,” jelas beliau.
Pemulihan ekonomi
Mengulas dari segi prospek ekonomi, beliau menjangkakan pemulihan ekonomi akan berlaku secara berterusan namun berperingkat berikutan risiko kesihatan dan ekonomi masih lagi wujud dalam negara.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar mana-mana individu yang ingin menceburkan diri dalam bidang pelaburan agar mempelbagaikan pelaburan merangkumi risiko aset rendah, sederhana dan tinggi.
Tambahnya, jika seseorang individu itu ruang pelaburannya sebelum ini hanya tertakluk pada pasaran domestik semata-mata, dia boleh mula membuat pelaburan luar negara pula namun mestilah secara berperingkat.
"Pelaburan luar negara juga ada risiko. Jadi, kena betul-betul hasilkan portfolio pelaburan yang jelas, namun jangan tertumpu pada satu jenis peruntukan aset, haruslah pelbagaikan.
"Contohnya, bagi syarikat besar, selain melabur di pasaran saham, mereka juga patut buat pelaburan di luar negara. Kalau dulu pendedahan hanya dalam satu peratus, mungkin boleh meningkat kepada lima peratus.
"Namun jangan pula dari satu peratus tingkatkan terus kepada 50 peratus kerana semua jenis pelaburan ada risiko yang tersendiri sama ada kita boleh kawal atau tidak sebab risiko pelaburan kadangkala berada di luar jangkaan.
"Kena pandai kawal, jika dari awal kita dapat mengagak pelaburan tersebut boleh mendatangkan kerugian, mungkin boleh dikurangkan peruntukan aset dalam pelaburan tersebut untuk mengurangkan kerugian,” katanya.