SHAH ALAM - Dua kitab suci al-Quran didakwa tidak basah walaupun seluruh rumah penduduk di situ ditenggelami banjir di kawasan Hulu Langat, Selangor.
Pendakwah bebas terkenal, Asma' Harun menerusi video siaran langsung di Facebook yang tular di media sosial sejak Isnin berkata, peristiwa tersebut membuktikan ada keajaiban bukti kekuasaan ALLAH walaupun dilanda musibah.
"Kita nak pergi sebuah rumah, bayangkan semua rumah dah tenggelam tetapi ada al-Quran yang tidak basah.
"Itu keajaiban Tuhan, al-Quran tidak basah tetapi semua harta benda terbalik, terpusing dan tenggelam tetapi kitab itu tidak basah,” katanya dalam video tular berkenaan.
Mengulas lanjut, Asma’ berkata, al-Quran tersebut seperti terjaga dan kering tidak disentuh air banjir.
"Antara keajaiban ini, dalam keadaan air sudah tenggelamkan rumah tetapi al-Quran selamat. ALLAH Akbar.
"Kita boleh tengok al-Quran ini, dua-dua kering. SubhanaALLAH. Bayangkan air dah tinggi dan kita boleh nampak meja ini ada selut.
"Tuan-tuan bayangkan air dah berada pada tahap yang tinggi, dinding- dinding ada kesan lumpur dan al-Quran ini seolah-olah tidak terkena langsung air.
"SubhanaALLAH, sama-sama kita bacakan doa semoga kita semua mendapat rahmat daripada al-Quran,” ujarnya.