PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mahu memastikan skuad kendaliannya itu melakar kemenangan ke atas West Ham pada aksi suku akhir Piala Liga, pada Khamis.
Menurut Conte, kemenangan berkenaan akan membantu mempermudahkan lagi laluan The Lillywhites itu untuk beraksi pada aksi separuh akhir dan seterusnya beraksi di final kelak.
"Kesemua pemain saya tahu, kehadiran saya adalah untuk membantu meningkatkan kualiti pasukan serta setiap pemain pasukan ini.
"Oleh itu saya mahu melihat kemahuan dan tahap keterujaan mereka (pemain) untuk terus meningkat dan bekerja keras.
"Jika semua perkara ini dapat saya saksikan, saya akan berikan ‘segala-galanya’ (ilmu, kepakaran)’ kepada mereka,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Spurs memenangi Piala Liga adalah pada musim 2008 lalu dan oleh itu, sudah pasti mereka mahu merangkul trofi berkenaan sekali lagi musim ini.
Sementara itu pengendali West Ham, David Moyes berkata, skuad kendaliannya akan mencuba sedaya upaya untuk memenangi aksi suku akhir berkenaan mara ke separuh akhir dan seterusnya beraksi di final buat julung kalinya dalam sejarah kelab berkenaan.
Katanya, kemaraan ke final Piala Liga akan menjadi satu sejarah buat The Hammers yang masih belum memenangi trofi Piala Liga setakat ini.
"Memenangi suku akhir ini adalah satu suntikan semangat buat kami untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Liga kali ini.
"Oleh itu, semua pemain diingatkan agar memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan misi kemenangan berkenaan,” katanya,