'Muak hadap banjir setiap kali hujan sejak 20 tahun lalu'

Iklan
Keadaan banjir di Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra, Teluk Intan ketika tinjauan dilakukan pada Isnin.

TELUK INTAN -"Setiap kali hujan lebat, air masuk rumah, setahun tiga empat kali banjir, kami dah muak nak menghadapinya lagi". Itu antara rintihan penduduk Changkat Jong di sini susulan kejadian banjir melanda kawasan itu sejak Ahad.

Iklan
Iklan

Penduduk yang ditemui tidak sanggup lagi menghadapi banjir yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat yang menjejaskan kediaman hingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar.

Zubaidah Shahruddin, 35, dari Batu 7 Jalan Changkat Jong berkata, pengalaman banjir ditempuhinya sejak 20 tahun lalu iaitu ketika mempunyai satu anak hinggalah kini mempunyai lima anak.

Iklan

Bagaimanapun menurutnya, keadaan banjir kali ini lebih mencemaskan kerana paras air naik mendadak dan berlaku pada lewat malam menyebabkan dia menghubungi balai bomba sendiri untuk bantuan.

"Ketika itu pusat pemindahan sementara (PPS) belum dibuka lagi, air pula dah melepasi paras lutut, barang-barang elektrik walaupun dah letak atas kerusi, tetapi tetap terkena air.

Iklan

"Saya ambil keputusan hubungi sendiri balai bomba dan alhamdulillah, tidak lama selepas itu bomba datang bersama Toyota Hilux (kenderaan pacuan empat roda) bawa kami sekeluarga keluar ke tempat lebih selamat," katanya ketika ditemui pada petang Isnin.

Zubaidah bersama suami dan lima anaknya berusia setahun hingga 15 tahun ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini.

Bagi penduduk, Nur Jamaayah Suraji, 48, yang mengalami sakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi terpaksa diusung keluar oleh pasukan penyelamat selepas kediamannya di Kampung Batu 10 dinaiki air pada Ahad.

Menurutnya, mereka sekeluarga hanya sempat meletakkan barang-barang berharga di atas meja dan berharap tidak dihanyutkan banjir.

"Setiap kali hujan lebat mesti banjir. Jadi pergi balik PPS ni dah jadi rutin kami dari mula saya sihat boleh berjalan, sampailah saya berkerusi roda.

"Tak tahu berapa lama lagi kena hadapi situasi seperti ini," katanya.

Zubaidah ketika ditemui di PPS SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan pada Isnin.

Dalam apda itu, Atan Arshad, 64, yang tinggal di Kampung Batu 9 berkata, tahun ini sahaja sudah tiga kali banjir melanda kawasan kampungnya dan kali ini disifatkan paling buruk kerana paras air tinggi mencecah hampir satu meter.

Pihaknya berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan demi keselamatan penduduk.

"Saya duduk seorang diri, anak-anak jauh kerja di bandar. Bila nampak paras air makin tinggi, cepat-cepat saya bawa motosikal keluar dari rumah dan pergi ke PPS," katanya.

Sementara itu, penduduk di Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra menggesa kerajaan negeri menunaikan janji untuk memindahkan mereka ke penempatan baharu di Kampung Ayer Hitam.

Mereka mendakwa, perkara itu telah dijanjikan beberapa kali dengan dan terbaharu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Mohamad Omar Alang Ahmad, 52, berkata, dia dan keluarga telah menetap di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu dan terpaksa perlu berjaga-jaga setiap kali hujan lebat atau berterusan.

Katanya, terdapat kira-kira 30 rumah di kampung tersebut yang kesemuanya berharap dapat berpindah ke penempatan baharu secepat mungkin.

"Kami telah dijanjikan untuk dipindahkan tetapi sampai sekarang, belum ada apa-apa berita. Saya difahamkan yang peruntukan telah pun ada, namun pelaksanaannya masih kelam, tidak tahu apa hujungnya," katanya.

Bagi Salehuddin Khuzai, 45, yang menetap di Ipoh, dia bimbang dengan keselamatan isteri dan ibu mentuanya selepas mendapat berita rumah mereka dinaiki air, Ahad lepas.

Katanya, air banjir yang naik mendadak menyebabkan isterinya tidak sempat menyelamatkan barang dan semuanya terendam air.

"Saya lihat barang-barang di dalam rumah semuanya habis terendam. Saya sangat berharap pihak atasan dapat membantu penduduk di kampung ini bagi meringankan beban mereka," katanya.

Setakat jam 8 pagi Selasa, keadaan banjir di daerah Hilir Perak dan Muallim semakin pulih apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Slim di Slim River, ditutup.

Kesemua 34 penduduk daripada lapan keluarga yang ditempatkan di situ sejak Ahad dibenarkan pulang ke rumah sekitar jam 9 pagi Selasa.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, hanya dua buah pusat pemindahan beroperasi iaitu di SMK Abdul Rahman Talib di Changkat Jong dan Dewan Bandaran Teluk Intan.

Katanya, SMK Abdul Rahman Talib kini dihuni 148 orang daripada 36 keluarga manakala di Dewan Bandaran Teluk Intan pula dengan 136 orang daripada 46 keluarga.

"Hasil pemantauan di daerah Muallim mendapati cuaca dalam keadaan baik dan cerah dengan paras air Sungai Bernam telah surut ke tahap normal.

"Air yang melimpahi jalan raya juga telah surut sepenuhnya," katanya.