KUALA KRAI - Banjir yang berlaku di Kampung Kuala Nal di sini menyebabkan penduduknya terperangkap berikutan jalan utama di kampung itu ditenggelami air, sekali gus menyukarkan mereka untuk keluar jika ada urusan penting.
Justeru, Mohamad Rosdi Mohamad Khatib, 33, yang berpengalaman mengemudi bot tambang lebih lima tahun, membantu penduduk dengan membawa mereka menaiki bot fiber itu untuk menghantar mereka pergi bekerja dan urusan lain.
Beliau berkata, pada mulanya beliau hanya sekadar membantu penduduk yang terperangkap banjir namun, tidak menyangka lama-kelamaan mereka selesa dengan khidmat yang diberikan.
"Pada awalnya, niat saya cuma mahu membantu penduduk yang memerlukan bantuan untuk melakukan urusan penting semasa musim banjir, tetapi disebabkan saya tidak bekerja ketika ini atas faktor cuaca, jadi saya ambil keputusan untuk lakukan pekerjaan alternatif ini sebagai sumber pendapatan.
"Saya mengemudi bot fiber dan berulang-alik hampir 50 kali sehari untuk membawa penduduk seperti pergi kerja, mendapatkan rawatan di klinik atau hospital dan membeli barang keperluan di bandar Kuala Krai," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kuala Nal, di sini.
Mengulas lanjut, Mohammad Rosdi berkata, beliau akan mula bekerja pada jam 8 pagi hingga 7 malam dan bayaran yang dikenakan kepada penumpang adalah RM2 sehala bagi seorang.
"Hasil daripada upah yang diterima ini saya akan membeli minyak petrol untuk bot tambang selain digunakan untuk menyara diri dan keluarga.
"Apabila banjir berlaku, jalan utama di kampung ini akan ditenggelami air sehingga menyukarkan penduduk untuk melakukan urusan dan terpaksa menggunakan bot tambang ini sebagai pengangkutan alternatif," katanya.
Sementara itu, seorang penumpang bot yang ditemui, Zuraiha Mohammad, 39, berkata, bot tambang ini amat sesuai digunakan ketika musim tengkujuh kerana dapat membantu penduduk yang terperangkap akibat banjir dan sebagainya.
"Apabila kenderaan tidak boleh digunakan kerana jalan utama menghubungkan Kampung Kuala Nal ke Kampung Baru dinaiki air sejauh 1.3 kilometer, bot tambang ini banyak membantu penduduk kampung malah tambang yang dikenakan sangat murah dan berbaloi," katanya. - Bernama