PASIR MAS - Seorang warga emas yang mengalami masalah patah tulang pinggul sanggup mengetepikan rasa sakit ketika meredah air banjir sehingga paras dada sejauh hampir 500 meter Sabtu lepas semata-mata mahu menyelamatkan diri dan keluarganya.
Che Som Isa, 67, nekad meredah air banjir bersama dua cucu dan menantunya ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang berikutan penempatannya di Kampung Alor Pasir di sini, telah dinaiki air mencecah hampir 0.8 meter.
Menceritakan detik itu, Che Som yang hampir 10 tahun mengalami masalah kesihatan itu akibat kemalangan jalan raya berkata, beliau tidak menyangka air naik begitu cepat.
"Apabila air mula naik sehingga mencecah paras dada, saya enggan bertangguh untuk berpindah, disebabkan kami sekeluarga tidak ada kemudahan perahu atau bot, kami nekad mengharungi air banjir untuk ke PPS berdekatan,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, ibu kepada enam anak berusia antara 48 hingga 32 tahun itu berkata, kesan daripada kemalangan itu, pahanya terpaksa dimasukkan besi dan ketika meredah banjir, kesakitan itu semakin terasa kerana keadaan yang sejuk serta merasa lenguh apabila berjalan dalam jarak yang terlampau jauh.
"Selepas mengharungi banjir dalam jarak yang jauh itu, paha saya mula rasa sakit dan lenguh berpanjangan. Mahu tidak mahu saya perlu keluar dari kediaman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
"Saya bersyukur sebaik sahaja tiba di PPS ini, petugas kesihatan segera membantu saya dan memberi rawatan selanjutnya untuk mengurangkan rasa sakit ini,” katanya yang terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Che Som berkata, menetap di PPS akibat banjir bukanlah kali pertama dalam diari hidupnya kerana sejak tahun 2014 rumahnya sering dilanda banjir khususnya pada musim tengkujuh dan sudah reda dengan keadaan itu, namun berdoa supaya rumahnya tidak runtuh kerana selalu ditenggelami air banjir. - Bernama