SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, ahli politik ketiga paling dicari oleh pengguna internet di seluruh dunia tahun ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
Purata bulanan carian dalam talian untuk Jong Un adalah sebanyak 1.9 juta, di belakang Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, yang mendahului senarai dengan tujuh juta carian dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sebanyak dua juta, menurut firma analisis data Jerman, Statista.
Bekas Canselor Jerman, Angela Merkel di tempat keempat dengan 1.4 juta carian.
Kata kunci paling dicari berkaitan dengan pemimpin Korea Utara itu ialah 'penurunan berat badan', menurut satu lagi analisis oleh Google Trends.
Pada Jun, Jong Un, 37, muncul pada satu acara yang menampakkan badannya yang semakin susut, menjadi tumpuan umum dan menimbulkan spekulasi mengenai kesihatannya.
Menurut Agensi perisikan Korea Selatan, Jong Un yang seberat 140 kilogram (kg) dikatakan hilang berat badan sebanyak 20 kg tetapi kelihatan tidak mempunyai masalah kesihatan serius. - Bernama