'Nyawa, keselamatan lebih penting'

Iklan
Rakaman video tular di media sosial berhubung dakwaan NGO yang dihalang untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Sri Muda.

SHAH ALAM - Polis tidak menghalang sukarelawan menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Sri Muda pada Isnin tetapi mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu bagi mengelakkan kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke pusat penempatan sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika kejadian polis bersama agensi sahabat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia bertungkus-lumus menyelamat dan mengeluarkan mangsa banjir daripada kawasan Sri Muda yang sedang ditenggelami dengan air.

Iklan
Iklan

"Hanya sebahagian kenderaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan masuk dan kebanyakan kenderaan dan orang awam tidak dibenarkan keluar masuk bagi mengelakkan kesesakan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, tular di media sosial satu video kenderaan NGO yang mendakwa dihalang untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Sri Muda.

Iklan

Video yang tular di media sosial Tik Tok itu menimbulkan kemarahan netizen yang rata-ratanya mempersoalkan tindakan tersebut.

Katanya, tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

Iklan

"Paras air sungai semakin meningkat dikhuatiri kesesakan di lokasi akan menambahkan lagi kemudaratan kepada semua pihak dan menyukarkan proses menyelamatkan nyawa mangsa.

"Keprihatinan semua NGO dan orang awam amat dihargai dalam usaha membantu mangsa banjir tetapi mereka perlu mematuhi arahan pihak berkuasa supaya dapat memudahkan proses menyelamat mangsa," katanya.