Tiga daerah di Pahang diramal banjir teruk

Iklan
Che Adam meninjau sitausi semasa air banjir di Taman Perumahan Cenderawasih pada Selasa.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Empat daerah di Pahang dijangka menerima impak limpahan air hulu Sungai Pahang dalam masa terdekat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah yang diramal terlibat Temerloh, Bera, Maran dan Pekan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebarangkalian itu dibuat selepas melihat perubahan aliran air Sungai Pahang yang kemungkinan mengalir ke kawasan lebih rendah.

"Kita bersedia dengan kemungkinan itu dan sudah meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai supaya bersedia dengan gelombang banjir seterusnya.

Iklan

"Merujuk kepada ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, semalam (Isnin) sehingga 25 Disember ini tiada hujan lebat yang boleh membawa kepada banjir, tetapi hanya limpahan air Sungai Pahang dari hulu.

"Kita yakin, ia tidak akan menyebabkan pemindahan mangsa yang ramai seperti yang berlaku hari ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan banjir di taman perumahan Cenderawasih pada Selasa.

Iklan

Keadaan air banjir di Taman Perumahan Cenderawasih pada Selasa.

Beliau memaklumkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang meningkat secara drastik kepada 39,796 orang melibatkan 10,776 keluarga.

Katanya, kesemua mangsa telah dipindahkan ke 280 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan sembilan daerah.

"Setakat ini, kita sudah merekodkan lapan kematian," katanya.

Mengulas lanjut mengenai agihan bantuan, Che Adam meminta agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan diri di pusat kawalan banjir di sembilan daerah bagi memudahkan kawalan bantuan.

Jelasnya, kaedah ini bagi mengelak pertindihan sumbangan di sebuah tempat sehingga mendatangkan pembaziran.

Selain itu, Che Adam turut menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak sahih dalam media sosial berkaitan banjir di negeri ini.

Katanya, tindakan itu boleh mengakibatkan situasi panik dalam kalangan orang ramai pada masa sama menghubungi agensi penyelamat jika berdepan dengan sebarang musibah.

"Kepada masyarakat di luar sana, jangan kita menularkan berita kurang sahih mengenai musibah banjir kerana ia mendatangkan kegusaran orang ramai," katanya.