PEMULIHAN ekonomi di Malaysia dijangka meraih momentum pada 2022 dengan Bank Dunia mengunjurkan ekonomi untuk berkembang sebanyak 5.8 peratus, didorong terutamanya daripada kepesatan penggunaan swasta.
Institusi yang berpangkalan di Washington, DC itu berkata, eksport diunjur terus berkembang meskipun pada tahap lebih perlahan, seiring dengan jangkaan pertumbuhan perdagangan global yang sederhana dan meluas ketika semua sektor ekonomi mencatatkan pemulihan.
Menurut laporan terkini Malaysia Economic Monitor December 2021 Edition ‘Staying Afloat’ atau laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Disember 2021 oleh Bank Dunia bertajuk ‘Kekal Bertahan’ yang dilancarkan hari ini, ramalan bagi tahun depan adalah berdasarkan anggaran pertumbuhan 3.3 peratus pada 2021 yang masih suram akibat beberapa risiko penurunan termasuk penularan baharu Covid-19 dan pertumbuhan global dan serantau yang lebih rendah daripada jangkaan.
Bank Dunia berkata, ruang fiskal yang terhad masih menjadi cabaran utama dengan perolehan kerajaan Persekutuan yang menyusut sejak 2013, dijangka mencapai 14.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022.
Laporan itu turut menyatakan bahawa perbelanjaan operasi tetap seperti emolumen, bayaran persaraan, dan bayaran perkhidmatan hutang telah meningkat ketara dari semasa ke semasa dan dijangka melibatkan dua pertiga daripada perolehan kerajaan Persekutuan pada 2022, meningkatkan ketegaran fiskal dan menjejaskan perbelanjaan budi bicara.
"Pandemik ini lebih mengekang ruang fiskal Malaysia yang sememangnya terhad. Perolehan kerajaan dijangka merosot, manakala perbelanjaan tetap masih tinggi.
"Sehubungan itu, kerajaan perlu mempercepat usaha untuk membina semula penampan fiskal dengan mengumpul lebih banyak dan membuat perbelanjaan yang lebih baik,” kata Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Dr Ndiame Diop.
Pertumbuhan global dijangka menguncup kepada 4.3 peratus pada 2022 berbanding ramalan 5.6 peratus pada 2021.
Menurut Bank Dunia, keadaan ini menggambarkan cabaran ekoran penularan semula Covid-19, gangguan bekalan yang berterusan dan sokongan makroekonomi yang berkurangan.
Katanya, pertumbuhan dijangka sederhana kepada 4.0 peratus bagi ekonomi yang lebih maju pada tahun depan (ramalan 2021: 5.4 peratus) berikutan sokongan dasar yang dikurangkan secara berperingkat, meskipun sebahagiannya akan diimbangi oleh permintaan terpendam yang berterusan.
Sementara itu, pertumbuhan dalam negara yang berkembang pesat dan sedang membangun (EMDE) diunjur sederhana kepada 4.7 peratus menjelang 2022 (ramalan 2021: 6.0 peratus).
Memandangkan kerajaan Malaysia berhasrat untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada 2022, Bank Dunia berkata, ini boleh membuka jalan bagi penyatuan fiskal jangka sederhana.
"Bagaimanapun, dalam jangka pendek, melonjakkan sasaran perbelanjaan sosial dan pada masa yang sama mengurangkan subsidi umum dan regresif seperti subsidi bahan api, akan membantu meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan.
"Perbelanjaan sosial yang disasarkan harus kekal sebagai keutamaan terdekat berikutan tahap ketidakpastian yang tinggi terhadap prospek kesihatan dan ekonomi ketika negara bergerak memasuki 2022," katanya.
Menurut tinjauan Telefon Berfrekuensi Tinggi (HiFy) yang dipertanggungjawabkan oleh Bank Dunia di Malaysia, pandemik telah menjejaskan lagi cabaran sedia ada yang dihadapi oleh isi rumah Malaysia yang miskin dan rentan.
"Pandemik ini telah memburukkan lagi banyak aspek sosioekonomi isi rumah, yang berpotensi menambah ketidaksamaan jangka panjang, selain memperlahankan pertumbuhan masa depan. Pekerja yang berpendapatan rendah, kurang berpendidikan dan lebih muda adalah cenderung untuk dibuang kerja semasa pandemik.
"Pekerja tidak formal juga merupakan antara golongan yang paling teruk terjejas dan lebih mudah terdedah kepada kehilangan pendapatan. Walaupun ada yang menerima bantuan kerajaan, isi rumah masih perlu menggunakan simpanan peribadi termasuk berjimat-cermat bagi menangani isu-isu kewangan," menurut laporan itu.
Menurut Bank Dunia, walaupun ekonomi beransur pulih, kemajuannya masih tidak sekata sekali gus menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah dan pekerja tidak formal mudah terjejas.
Tinjauan itu juga mencerminkan jurang pembelajaran antara kanak-kanak daripada kumpulan sosioekonomi yang berbeza, yang telah wujud sebelum pandemik.
"Penutupan sekolah akibat sekatan pergerakan telah melebarkan jurang ini kerana isi rumah berpendapatan rendah terpaksa bergelut dengan sumber dan kemudahan untuk anak-anak mereka yang menjalani pembelajaran di rumah," kata Bank Dunia.
Bagi memastikan Malaysia memenuhi potensi pertumbuhannya pada beberapa tahun akan datang, Bank Dunia berkata ini adalah waktu yang kritikal dan sesuai untuk negara menangani jurang sedia ada dan cabaran baharu daripada krisis ini.
Dalam jangka pendek, tumpuan harus diberikan untuk mengekalkan sokongan kewangan bagi golongan miskin dan rentan, mencapai keterangkuman yang lebih besar termasuk memudahkan pembelajaran untuk semua kanak-kanak, katanya.
"Dalam jangka panjang, pendekatan perlu bertujuan menangani kekurangan dalam sistem perlindungan sosial dan pendidikan semasa agar ia lebih berkesan dalam menangani kemiskinan serta ketidaksamaan, selain lebih responsif terhadap kejutan.
"Pada masa yang sama, menguruskan kesan jangka panjang pandemik adalah perlu terhadap sumber pendapatan, kesejahteraan dan pembangunan modal insan," tambahnya. - Bernama