Peluang cerah Kor Suksis sertai PDRM

Iklan
Shafien (depan, tengah) bergambar bersama para pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok pada Selasa.

BACHOK - Sejumlah 66 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini mempunyai peluang kerjaya yang cerah bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka digalakkan supaya memilih bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

Iklan
Iklan

Katanya, pelatih Kor Suksis adalah antara calon terbaik untuk menyertai pasukan keselamatan negara itu hasil daripada latihan dan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang tempoh tiga tahun.

"Melihat kepada perbarisan dan cara kawad pelatih Kor Suksis UMK sama seperti anggota PDRM malah mereka berketrampilan dan layak dari segi fizikal tubuh badan.

Iklan

"Mereka juga dilatih dengan persenjataan dan akan mudah dibentuk sekiranya menyertai pasukan PDRM kelak,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) UMK Tahun 2021 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, di sini.

Iklan

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim; Komandan Kor Suksis UMK merangkap Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) UMK, Asisten Komisioner Profesor Teknologi Dr Arham Abdullah dan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Katanya, penuntut yang menyertai kokurikulum badan beruniform dipercayai mempunyai jati diri dan disiplin yang tinggi serta diperlukan dalam program khidmat masyarakat seperti ketika pasca banjir.

"Walaupun pelatih belum dibenarkan terlibat dalam gerak kerja barisan hadapan namun khidmat mereka diperlukan dalam program masyarakat melalui kerjasama dan persetujuan oleh pihak universiti masing-masing.

"Misalnya ketika banjir, khidmat mereka diperlukan semasa pasca banjir seperti membantu kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 66 penuntut UMK terdiri daripada 27 lelaki dan 39 wanita menerima sijil pelantikan pegawai Kor Suksis.

Sijil dan hadiah turut disampaikan kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Suksis UMK 2021, Inspektor Kor Suksis Khairul Sobri Abdul Rahman, Pelatih Terbaik Akademik, Inspektor Kor Suksis Nur Raihan Adni Mohd Nasser dan Pelatih Terbaik Latihan Luar, Inspektor Kor Suksis Faqihfaridudin Azhar.