SINGAPURA - Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan mengutus surat kepada rakan sejawatannya Datuk Seri Saifuddin Abdullah untuk mengucapkan takziah berikutan bencana banjir yang melanda Malaysia.
"Saya sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda akibat banjir di beberapa negeri di Malaysia.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia yang terjejas mata pencarian mereka,” katanya dalam surat itu.
Balakrishnan berkata Singapura 'bersolidariti dengan Malaysia pada masa sukar ini'.
"Saya yakin rakyat Malaysia mampu mengharungi krisis ini dengan kekuatan dan ketabahan," katanya.
Hujan luar biasa yang melanda Malaysia sejak Jumaat lepas menyebabkan beberapa negeri ditenggelami air termasuk di Lembah Klang.
Sehingga tengah hari Selasa, 44,000 orang masih berada di pusat pemindahan di seluruh Malaysia tetapi secara keseluruhan keadaan adalah bertambah baik. - Bernama