SHAH ALAM - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri di negara ini.
Justeru, TVET telah diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan menyediakan peruntukan RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah agensi-agensi berkaitan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, tumpuan juga diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa dengan peruntukan tambahan RM200 juta untuk program usaha sama industri termasuk Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan program persijilan industri.
"Hal ini adalah seiring dengan apa yang digariskan dalam Kerangka Blueprint Pembangunan Modal Insan Berkemahiran 2018-2023 berkenaan pembangunan dasar dan polisi pelaksanaan TVET yang berteraskan konsep 'TVET Dipacu Industri'.
"Kerangka Blueprint ini juga akan menjadi dokumen rujukan utama dalam pembangunan dasar dan polisi pelaksanaan TVET, seiring dengan kepentingan latihan TVET dalam Revolusi Industri 4.0 dan cadangan pindaan Akta 652 ke arah pelaksanaan program TVET melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) sehingga Tahap 8.
"Diharap, ia dapat membuka mata barisan Pengurus Pusat Bertauliah JPK (Jabatan Pembangunan Kemahiran) akan peluang-peluang latihan kemahiran yang bakal dilaksanakan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Konvokesyen Kemahiran dan Keusahawanan Kali ke-7 Bagi Tahun 2021 bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini pada Selasa.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Datuk Ts Zaihan Shukri.
Turut hadir, Penasihat Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman; Presiden SLDN, Datuk Joyah Abdul Rashid; Pengarah Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Rahim Abu dan Pengarah Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan JPK, Zuleah Darsong.
Program itu adalah anjuran SLDN dengan penglibatan seramai 994 graduan daripada 40 pusat bertauliah di bawah JPK.
Pada majlis itu, 49 orang menerima Penyata Pencapaian (PC), 855 orang menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3, Sijil Pengajar Vokasional (VTO) seramai 37 orang, Diploma Kemahiran Malaysia (44) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (9).
Kesemua penerima terdiri daripada warganegara yang berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan kenderaan, dandanan rambut dan kecantikan penjagaan kesihatan.
Selain itu, pemesinan, sokongan dan penyeliaan pentadbiran, penyeliaan, jahitan, jualan dan pemasaran, kulinari, pengaturcaraan komputer serta operasi latihan vokasional.
Majlis itu turut disertai lebih 200 graduan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh negara.
Setiap graduan menerima persijilan kemahiran masing-masing dalam bidang operasi pemulihan dan penjagaan komuniti seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Mengulas lanjut, Awang berkata, graduan yang terlatih ini mampu memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dalam pelbagai industri.
"Mereka digalakkan untuk sentiasa mempelajari serta meneroka kemahiran dan ilmu baharu (peningkatan kemahiran dan mengasah semula kemahiran) agar kekal relevan dengan keperluan industri," ujarnya.