MAHF bincang dengan KBS isu hutang tertunggak RM133,000

Iklan
Pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul juara Kejohanan Bola Baling Kebangsaan Bawah 20 Tahun kategori lelaki di Stadium Tertutup EduCity, Iskandar Puteri pada Isnin.

PERSEKUTUAN Bola Baling Malaysia (MAHF) akan bertemu Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi dalam usaha menyelesaikan hutang tertunggak sebanyak RM133,000 dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MAHF, Pandak Ahmad berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan pandangan dan nasihat Ahmad Faizal supaya hutang dapat diselesaikan tahun depan.

Iklan
Iklan

"Kita akan cuba selesaikan di peringkat dalaman terlebih dahulu sebelum memikirkan kaedah lain termasuk melakukan 'crowd funding' untuk membayar semula hutang itu.

"Komitmen ini bagi memastikan sukan berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kejohanan Bola Baling Kebangsaan Bawah 20 Tahun di Stadium Tertutup EduCity, di sini pada Isnin.

Iklan

MAHF sebelum ini berhutang RM133,000 dengan MOM susulan tunggakan meliputi perbelanjaan dan kos penyertaan atlet bola baling pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Pandak berkata, pihaknya juga akan memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan perkara tersebut selepas aktiviti sukan kembali dibenarkan dalam fasa terkini ketika ini.

Iklan

"Kita akan meneruskan rundingan dengan MOM untuk menyelesaikan kemelut ini dan berharap mereka dapat menerima cadangan khususnya memberikan kami pembayaran paling minimum bagi membolehkan kami menghantar pasukan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa," jelasnya yang memegang jawatan itu sejak Februari 2020.

Sementara itu, dalam kejohanan tersebut bagi kategori lelaki bawah 20 tahun, pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kategori lelaki muncul juara manakala pasukan Pahang naib juara dan pasukan Terengganu di tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan bawah 20 tahun, pasukan Johor menjadi juara manakala pasukan Terengganu naib juara dan Pasukan Selangor pula menduduki tempat ketiga.