BANGKOK - Thailand memutuskan untuk menangguhkan sementara program kemasukan bebas kuarantin,"Test & Go” dalam usaha mengekang penularan varian Omicron.
Semua ketibaan baharu yang memohon selepas 22 Disember, perlu menjalani kuarantin wajib di hotel.
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Selasa mengarahkan permohonan pas untuk program"Test & GO” dan"Sandbox” (kecuali Phuket Sandbox) digantung sementara bermula tengah malam ini sehingga diberitahu kelak.
Beliau berkata, langkah itu akan dikaji semula pada 4 Januari.
"Sehingga kini, terdapat kira-kira 200,000 pelawat mendaftar untuk program"Test & Go” dan"Sandbox”, termasuk 110,000 yang sudah diluluskan untuk kemasukan tanpa kuarantin manakala 90,000 lagi menunggu kelulusan.
"Mereka akan dibenarkan masuk (Thailand). Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi langkah tambahan termasuk menjalani ujian RT-PCR kedua di kemudahan ditetapkan.
"Langkah-langkah ini adalah sementara...ini bukan untuk menyekat pelancong," katanya pada taklimat di sini pada Selasa.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa berkaitan akan memantau situasi Covid-19 serta perkembangan terkini varian Omicron di negara ini.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Thailand melaporkan kes pertama penularan tempatan varian Omicron. Setakat ini, Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 63 kes varian Omicron yang disahkan manakala 20 lagi kes kemungkinan.
Mulai 1 Nov, Thailand telah membuka pintu kepada pengembara lengkap vaksin Covid-19 dari 63 negara dan wilayah.
Di bawah program"Test & Go”, sebanyak 227 kes Covid-19 telah dikesan pada bulan ini berbanding 83 kes pada November.
Selain itu, sejumlah 27 kes Omicron dilaporkan di bawah"Test & Go”,"Sandbox” (tiga) dan kuarantin alternatif (tiga).
Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 2,476 kes Covid-19, terendah sejak 10 Jun, dan 32 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,196,529 dan 21,440 korban setakat ini. - Bernama