Rakyat bersatu hadapi musibah

Iklan
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JBPM) meredah air untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam. -Foto Bernama

MUSIBAH banjir yang ‘menghentam’ beberapa negeri kali ini terutama di Selangor disifatkan antara paling terburuk pernah berlaku.

Bencana yang bukan sahaja meranapkan harta benda, malah turut meragut nyawa. Setakat dilaporkan pada Selasa, seramai 17 kematian direkodkan akibat banjir di Selangor, dengan 10 kematian di daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Iklan
Iklan

Paling meruntun jiwa apabila seorang seorang ibu meninggal dunia ketika terperangkap di dalam banjir.

Pada Selasa, mayat seorang daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir lumpur di sebuah chalet di Bentong pada Sabtu juga telah ditemukan.

Iklan

Setiap musibah yang berlaku adalah tanda teguran dan ingatan. Namun, janganlah menulis seolah-olah musibah terjadi disebabkan ‘dosa-dosa’ yang dilakukan mangsa banjir.

Janganlah pula kita menyindir apabila melihat tiada lagi prosedur operasi standard (SOP) diguna pakai untuk masuk ke masjid dan surau dek kerana banyak rumah ibadat kini dijadikan lokasi penempatan dan bantuan kepada mangsa banjir.

Iklan

Janganlah kita mencari salah tetapi bermuhasabah dan carilah hikmah. Hikmah musibah bukti kita mampu bersatu untuk membantu.

Ibarat satu keluarga, kita saling menghulurkan wang ringgit, keringat dan mendoakan tanpa mengira agama serta warna kulit.

Cerita ‘Abang Azwan’ yang sanggup meredah perjalanan dari Melaka ke Shah Alam, Selangor bersama botnya untuk membantu mangsa-mangsa banjir adalah bukti hati rakyat kita yang prihatin.

Ada yang menawarkan makanan dan minuman percuma, pakaian, bilik kosong di rumah untuk menumpang teduh kepada mangsa banjir dan pelbagai lagi bentuk bantuan dihulur tanpa dipaksa.

Malah, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin turut menghalalkan setiap barangan yang diambil di dalam premis Mydin Mart, Taman Sri Muda demi kelangsungan hidup mangsa banjir.

Menurutnya, walaupun pihaknya tidak menyokong perbuatan pecah masuk dan mencuri, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka yang terlibat dalam kejadian itu tiada pilihan.

Tidak dilupa golongan selebriti juga ada yang tidak lokek waktu dan tenaga turun padang membantu mangsa banjir, bukan sekadar menghulurkan barangan keperluan tetapi menyinsing lengan membersihkan rumah mangsa banjir. Itu hanyalah sebahagian cerita prihatin rakyat Malaysia yang mempunyai hati budiman. Sememangnya ramai berduka, tapi percayalah ada hikmah di sebalik musibah.

Selain itu, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga kini mula menggerakkan kerja membantu operasi pasca banjir tanpa mengharapkan kerajaan semata-mata, mahu pun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Namun, jasa dan khidmat anggota keselamatan yang sanggup menggadai nyawa membantu mangsa banjir tetap dihargai.

Dalam keadaan gelap gelita, cuaca sejuk dan keadaan yang membahayakan, anggota keselamatan kita tetap menjalankan tugas. Tiada video dan tiada kamera, sebaliknya mereka fokus dengan tugas menyelamatkan nyawa. Tidak dinafikan ada yang lewat menerima bantuan sehingga terpaksa bermalam di atas bumbung rumah menanti anggota keselamatan tiba tetapi itu bukan bermakna anggota keselamatan kita tidak buat kerja.

Percayalah, ada dalam kalangan mereka yang sebenarnya turut terjejas akibat banjir tetapi memilih untuk berada di lapangan membantu mangsa-mangsa banjir.

Jika tidak mampu turun padang membantu, setidak-tidaknya janganlah menulis mengeluarkan kata-kata yang merobek hati mereka yang membantu.

Ketika rakyat boleh bersatu mendepani musibah, kenapa tidak pemimpin-pemimpin tanpa mengira fahaman politik juga belajar perkara yang sama.

Sudah-sudahlah berbalah, asyik mencari salah dan nak marah-marah. Lebih baik turun padang dan bantulah rakyat yang sedang dalam kesusahan.

* Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan