IPOH - Sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sanggup membeli bot baharu untuk digunakan bagi membantu mangsa banjir di Selangor.
Perkara itu didedahkan pengusaha River Cruise Teluk Intan, Mohd Sahril Mustafa, 33, yang menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap bencana banjir yang melanda negeri itu.
Menurutnya, ketika pasukannya membuat persiapan bantuan misi banjir, dia didatangi sukarelawan dari Klang menaiki lori untuk membeli bot bagi membantu mangsa banjir.
"Saya beritahu dia tak payah beli, guna saja bot saya kerana memang mahu ke sana. Jadi kami ke sana membawa bot menggunakan lori lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Shahril bersama rakan membawa tiga unit bot untuk menggerakkan misi bantuan banjir di Lembah Klang.
Mereka yang tiba di Sri Muda, Shah Alam pada 3 petang, Isnin terus membantu memindahkan mangsa ke tempat lebih selamat.
Dia mengakui menerima banyak kiriman mesej daripada pengikut Facebook termasuk mereka yang pernah menjadi penumpang river cruisenya untuk meminta bantuan.
"Saya (tinggal dan berkerja) berhampiran sungai jadi memang faham situasi banjir apatah lagi jika ia berlaku tidak dijangka, sebab itu saya mahu bersama-sama membantu mereka," katanya.
Menceritakan pengalaman dalam operasi membantu memindahkan penduduk, beliau berkata, ada mangsa yang sudah terkandas selama tiga hari di dalam rumah tanpa bekalan elektrik.
"Memang kasihan melihat keadaan mangsa banjir terutama kanak-kanak dan warga emas. Paling membuatkan saya sedih apabila melihat bomba membawa mayat mangsa banjir," katanya yang memaklumkan beberapa individu lain di Teluk Intan juga sudah menghantar bantuan lebih lima bot ke kawasan terjejas banjir.