HULU LANGAT - Masjid Al Ehsan Kampung Sungai Serai di sini kerugian hampir RM1. 2 juta susulan banjir yang melanda kawasan itu pada Sabtu.
Imam II Masjid Al-Ehsan, Mohd Fakhri Dermawijaya berkata, air naik hingga paras siling menyebabkan strukturnya hampir roboh selain bekalan elektrik terputus.
"Banyak barangan tidak dapat diselamatkan termasuk karpet dan kitab susulan air naik terlalu pantas.
"Masjid dijangka kembali beroperasi pada minggu hadapan selepas kerja pembersihan dan pendawaian elektrik dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah beliau, air mulai surut pada Ahad dan kerja-kerja pembersihan pada Isnin oleh penduduk, sukarelawan dan pasukan bomba mengambil masa agak lama susulan masalah tekanan air rendah.
Beliau memaklumkan, kejadian banjir itu antara terburuk yang melanda masjid dan kampung berkenaan.
"Sejak 10 tahun kebelakangan ini hampir setiap tahun masjid dilanda musibah banjir termasuk dua kali tahun ini.
"November lalu, air naik lebih satu meter dan sekali lagi banjir pada Sabtu lalu hingga ke siling masjid," katanya.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada penduduk terperangkap di masjid pada hari kejadian seperti yang berlaku di beberapa kawasan lain.