TAHUN lalu nama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perhatian setelah tersebar khabar angin mengatakan kesihatannya kurang baik.
Khabar angin itu sedikit sebanyak mendapat perhatian rakyat Malaysia terhadap Bapa Pembangunan Modal Insan itu. Pelbagai doa dititipkan rakyat Malaysia supaya Tun Abdullah dikurniakan kesihatan sepanjang masa.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan kerana keadaan sebenar beliau ketika itu tidaklah seperti yang digembar-gemburkan.
Setelah sekian lama tidak kelihatan di mana-mana majlis umum, penulis berkesempatan bersemuka empat mata bersama Perdana Menteri kelima itu disebuah majlis Pelancaran Studio Legasi dan Forum Kelestarian Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor: Eksklusif atau Inklusif di Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebaik melihat Tun Abdullah melangkah masuk, jujur saya katakan, hati mula sebak.
Jika dahulu, sebelum Tun Abdullah melepaskan jawatan pada 1 September 2009, beliau masih kuat dan lantang bersuara, namun pada hari ini, Tun Abdullah yang berusia 80 tahun tidak gagah seperti dahulu.
Mujur si isteri, Tun Jeanne Abdullah setia disisi sebagai tongkat untuk Tun Abdullah. Langkahnya kecil dan penuh berhati-hati.
Cuma satu yang tidak berubah. Senyuman Tun Abdullah sama seperti dahulu. Mudah mengukir senyuman sehingga mengecilkan mata. Itu adalah identiti bekas Perdana Menteri kita.
Walaupun ada ketikanya beliau dipimpin isterinya, Tun Abdullah masih bersemangat menghulurkan tangan bersalaman dengan para tetamu yang hadir.
Senyuman diwajah Tun Abdullah dapat dilihat sepanjang majlis itu. Senyuman itu sedikit sebanyak menjadi pengubat rasa sebak dihati.
Apa yang pasti, raut wajahnya dilihat begitu tenang disebalik kulit yang kedut seribu. Sungguh istimewa momen ini.
Bagaimanapun, penulis tidak berpeluang untuk bertanya khabar secara lebih dekat. Biarpun begitu, pertemuan dalam majlis singkat itu amat memadai. Itulah kali pertama saya dapat melihat Tun Abdullah secara dekat.
Semoga Tun Abdullah sentiasa sihat dan terus mengukir senyuman.