KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus menurun sejak tiga hari lalu dengan 2,496 orang mangsa pada pagi Rabu.
Menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini pada jam 8.27 pagi itu menunjukkan angka tersebut menurun berbanding 3,395 mangsa pada Selasa dan 3,806 pada Isnin manakala 4,346 pada Ahad.
Mangsa yang masih ditempatkan di 15 PPS membabitkan dua daerah iaitu 10 di Pasir Mas dan lima di Kuala Krai membabitkan 1,676 mangsa daripada 785 keluarga melibatkan 113 warga emas, kanak-kanak (795), bayi (75) manakala orang kurang upaya (OKU) seramai 13 orang.
Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air bagaimanapun meramalkan ribut petir di satu dua tempat di Kelantan dengan hujan pada waktu pagi manakala ribut pada sebelah petang dan malam.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, lima jalan masih ditutup kerana berlaku limpahan banjir di jalan raya.
Mengikut portal ebanjir.kelantan.gov.my setakat jam 8.42 pagi, tiga jalan raya yang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan adalah di Pasir Mas iaitu Jalan Balai Polis Jeram Perdah di kilometer (KM) 0.77, Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang (KM 3- 3.8) dan Jalan Sekolah Kebangksaan (SK) Gual Tok Deh (KM 0.05 - 0.9)
Dua jalan di ditutup kepada kenderaan ringan pula di Pasir Mas Jalan Lubok Kiat - Kubang Kuau (KM 13.25- 14.15) dan di Tanah Merah jalan ke loji membersih air Bukit Remah (KM 0.25 - 0.76).
Di Kuala Krai pula, tiga jalan iaitu Jalan Jirat, jalan masuk ke Kampung Baru Pahi dan Jalan Bukit Sireh, Kambung Bedal Kuala Nal diletakkan papan tanda amaran supaya pengguna berwaspada ketika melalui jalan berkenaan.
Selain itu, berdasarkan portal sama yang dikemaskini pada jam 9.28 pagi Rabu, lima sungai di negeri ini masih melebihi paras bahaya iaitu di Sungai Galas di Dabong dengan catatan 38 meter (m), Sungai Lebir di Tualang (35 m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai (25 m), Sungai Golok di Jenob Rantau Panjang (23.5 m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3 m).