KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada Rabu.
Mereka ialah Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh, Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Noraini Idris dan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Datuk Seri Zurainah Musa.
Nuridah adalah lantikan semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang berkuat kuasa mulai 29 November 2021 hingga 28 November 2024 manakala Noraini dan Zurainah masing-masing adalah lantikan baharu oleh DUN Sabah dan Yang di-Pertuan Agong.
Pelantikan Noraini berkuat kuasa mulai 10 Disember 2021 hingga 9 Disember 2024 manakala Zurainah bermula pada Rabu hingga 21 Disember 2024.
Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara di sini.
Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan tiga Ahli Dewan Negara itu mengingatkan mereka supaya menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang telah dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi.
Menurutnya, Ahli Dewan Negara mestilah bertindak seiring agenda membaharui tekad dan langkah serta tindakan sebagai seorang Senator kerana jika gagal melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan, rakyat akan menghakimi mereka.
"Dalam konteks itu juga, marilah kita bersama-sama memperkecilkan peranan politik di dalam dewan ini dan memperbesarkan peranan negara kita," katanya.
Sementara itu, Rais turut memberi penekanan terhadap Peraturan Mesyuarat 13 (2) yang memperuntukkan seseorang itu boleh dengan usaha dan permohonan khas membuat usul atas apa jua yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan ataupun oleh pihak berkuasa.
Di bawah peraturan itu, dengan dibawa usul yang tidak dikehendak dikeluarkan, pemberitahu boleh memutuskan hendak menjalankan mana-mana jua urusan dengan tidak mengikut aturan yang telah ditetapkan dan usul itu hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain dan diputuskan dengan tidak boleh dipinda atau dibahas.
"Saya perlu menekankan iaitu peruntukan ini tiada di Dewan Rakyat dan sayangnya peruntukan ini jarang sekali digunakan di Dewan yang mulia ini. Misalnya pada zaman dan masa kita berhadapan dengan tengkujuh ini, tidak ada satu pun usul yang kita buat, kita menganggap keadaan sekarang sama seperti biasa.
"Keadaan sebegitu harus diubah dan marilah kita bersama-sama berganding bahu dan diharapkan dengan kemasukan ketiga-tiga wirawati Senator ini dapat mengubah keadaan seterusnya,” katanya. - Bernama