Syarikat tersenarai awam turut terima manfaat PMKS yang diwujudkan dalam Bajet 2022
SHAH ALAM - Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat tersenarai awam atau sektor informal, kini dapat menarik nafas lega apabila kerajaan mewujudkan Bantuan Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) dalam Bajet 2022.
Pakej pembiayaan berjumlah RM40 bilion itu diperkenal bagi mengembalikan keupayaan perniagaan sektor tersebut yang terjejas susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak hampir dua tahun lalu.
Skim pembiayaan ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti, dengan sasaran untuk memanfaatkan setiap golongan PMKS dan syarikat tersenarai awam yang layak berdasarkan kriteria ditetapkan.
Bantuan atau pembiayaan skim berkenaan termasuklah Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon, Mikro Kredit Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Mikro Kredit Bank Simpanan Nasional (BSN), Mikro Kredit AgroBank, skim geran Pendigitalan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), Geran Padanan Automasi Pintar dan sebagainya.
Menerusi kewujudan pakej pembiayaan terbaharu ini, pastinya pengusaha PMKS dan syarikat tersenarai awam menyambut baik bantuan daripada kerajaan itu selepas bergelut dengan cabaran pandemik berkenaan.
Seiring dengan itu juga, golongan yang layak menerima skim tersebut berupaya untuk merancang bagi menstabilkan kembali perniagaan dengan adanya pembiayaan yang akan bermula tahun depan itu.
REAKSI PMKS:
"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada awal tahun lalu sememangnya amat perit dan memberi pengajaran yang cukup besar buat saya sebagai pengusaha PMKS. Saya harap dapat memperoleh bantuan yang diberikan kerajaan,” Pemilik Popia Simpul Kasih Che Ta, Nor Azita Muda, 49
"Kesan semasa pelaksanaan PKP masih dirasai sehingga kini. Sebagai peniaga yang banyak terlibat dengan ekspo dan pameran jualan, kesan yang dialami oleh saya agak besar dan menjadi harapan untuk dapatkan bantuan untuk pulihkan perniagaan,” Pemilik Bahtera Yubalam Enterprise. Idham Bahtera Othman, 43
"Selaku usahawan aiskrim katering, apa yang dialami sepanjang tempoh PKP lalu terlalu perit untuk digambarkan kerana sebelum ini hampir keseluruhan perniagaan saya bergantung kepada majlis. Jadi saya harap PKP tidak lagi dikenakan,” Pemilik Aiskrim Masaw, Muhd Al Khabiir Mamat, 31
"Kerajaan perlu fokus kepada prosedur operasi standard (SOP) yang kemas dan bantuan-bantuan yang ditawarkan kepada usahawan sampai kepada golongan sasar,” Pengurus merangkap pemilik MISZ Home Physiotherapy (M) Sdn Bhd, Muhammad Izzat Syazwan Zakaria, 25
"Tekanan yang dialami hebat sekali sehinggakan saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk memastikan restoran yang diusahakan bersama keluarga ini dapat bertahan. Oleh itu, saya harap bantuan yang ditawarkan kerajaan dapat diperoleh,” Pemilik Restoran DiTengah, I-City, Mohzamir Amir Mohamad, 35
"Kesan PKP kepada perniagaan saya ibarat ‘dibom’. Bukan sahaja perniagaan utama saya iaitu pakaian, jatuh mendadak, tetapi lebih memeritkan ialah cabang perniagaan lain saya iaitu restoran, yang terpaksa ditutup. Saya harap dapat bantuan kerajaan bagi memastikan perniagaan saya kembali bangkit,” Pemilik Odeen Tshirt Muslimah, Shahudin Ahmad, 49
"Hampir dua tahun tidak berniaga disebabkan PKP sememangnya menjadi igauan buruk kepada semua peniaga. Oleh itu, besar harapan saya agar sekatan ekonomi akibat pandemik seperti yang dibuat sebelum ini tidak dilaksanakan lagi pada masa akan datang,” Pemilik Butik Pinky, Fariza Husain, 42
"Kesan PKP bukan sahaja memberi kesan yang sangat besar kepada saya tetapi juga pekerja-pekerja kerana dalam tempoh hampir setahun kedai tidak dapat beroperasi. Namun, alhamdulillah program subsidi upah (PSU) yang diwujudkan kerajaan sangat membantu dalam saat-saat peniaga seperti saya terkesan,” Pemilik Ayam Goreng Mad, Ahmad Syah Yasin, 43
"Cukuplah PKP sebelum ini telah melumpuhkan ‘periuk nasi’ kami. Sekiranya PKP dilaksanakan lagi pada masa akan datang, saya yakin ramai yang akan lumpuh terus dan sukar untuk kembali bangkit lagi,” Pengasas dan Pengarah Eksekutif Jelitasara Corporated Sdn Bhd, Wan Zaki Wan Taib, 43,