Tiga ditahan proses, simpan, jual arak tiruan

Iklan
Arak tiruan yang sudah siap diproses dan dibotolkan berjaya dirampas dalam serbuan pertama pada jam 6 petang pada Isnin. (Gambar kecil: Eng Lai)

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki ditahan kerana disyaki memproses dan menyimpan arak tiruan dalam serbuan ke atas dua premis berasingan di Kawasan Industri Taman Bukit Maluri, Kepong di sini pada Isnin.

Difahamkan, suspek mengisi campuran arak tiruan tersebut ke dalam botol kaca yang sama seperti minuman keras berjenama terkenal di mana harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua minuman keras tersebut dipercayai untuk memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan.

"Kita percaya sasaran pasaran mereka adalah untuk pasaran tempatan lebih-lebih lagi untuk memenuhi permintaan ketika sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Krismas tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Eng Lai berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 6 petang itu, pihaknya berjaya merampas 53 botol arak kosong dan 70 botol yang sudah diisi dengan arak tiruan, 131 pelekat minuman keras pelbagai jenama serta pelbagai peralatan membancuh.

"Pada serbuan di premis kedua pula kita berjaya merampas 756 kotak minuman keras jenama Tsingtao dan 474 kotak minuman keras jenama Harbin Ice di mana setiap kotak mengandungi 24 tin.

Iklan

"Minuman ini dipercaya tidak dibayar cukai Kastam yang dianggarkan bernilai RM117,912," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tiga hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang(Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.