Luluh hati lihat kereta baru beli tiga bulan hanyut banjir

Iklan
Kereta Nuarjan yang dihanyutkan arus deras ketika banjir pada Sabtu lalu.

SHAH ALAM - Luluh hati seorang wanita apabila kereta yang baru dibeli tiga bulan lalu dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Lui Batu 19, Hulu Langat pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Mangsa, Nuarjan Sulaiman, 36, berkata, lapan tahun dia bersama suami mengumpul duit bagi membeli kereta Perodua Bezza untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia hanya mampu melihat dari atas siling, kereta yang diletak di hadapan rumah dihanyutkan arus banjir pada malam Sabtu.

Iklan

Nuarjan Sulaiman

"Kejadian memang tidak disangka. Tidak pernah kawasan ini banjir, tiba-tiba air sungai melimpah dan naik mendadak, satu barang pun tidak sempat diselamatkan.

Iklan

"Nak selamatkan kereta dah tak boleh, nyawa yang lebih utama. Kami terpaksa naik hingga siling untuk menyelamatkan diri. Lima jam duduk atas siling sebelum diselamatkan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nuarjan berkata, keretanya itu ditemui 100 meter dari lokasi asal bersama timbunan kereta lain yang turut dihanyutkan semasa kejadian itu.

"Kereta saya tersangkut pada pokok, kalau tidak mungkin hanyut lebih jauh. Keadaan kereta rosak teruk, tercabut di bahagian bonet belakang serta cermin sisi.

"Buat masa ini kereta masih belum dialihkan. Kos baik pulih mungkin cecah RM5,000, saya tidak pasti dapat tuntut insurans atau perlu keluar modal sendiri," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Padang Jawa, di sini, Asrul Muhammad, 40, berkata, dia perlu bersiap sedia menyediakan hampir RM10,000 untuk baik pulih kerosakan dua kereta miliknya yang ditenggelami banjir.

"Kedua-dua kereta tidak ada insurans bencana. Mungkin nak dijadikan asbab, kereta yang sebelum ini ada perlindungan bencana tidak disambung kerana tiada bajet susulan NCD (no claim discount) tinggi lepas alami kemalangan beberapa bulan sebelumnya.

"Bagaimanapun, hati saya sedikit lega, motosikal yang turut tenggelam banjir tidak mengalami kerosakan teruk dan itulah satu-satunya kenderaan yang boleh digunakan sementara menunggu kereta rosak dibaiki," katanya.

Kereta ditenggelami banjir di Padang Jawa.

Katanya, banjir yang melanda Lembah Klang benar-benar menginsafkannya dan menerima dugaan itu dengan reda.