SHAH ALAM - Pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 90 peratus secara keseluruhan setakat 12 tengah hari, Rabu.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (90 peratus) dan Kuala Lumpur (89 peratus).
Menurut kenyataan itu, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih digerakkan dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal.
Sementara itu, kerja-kerja pembaikan di LRA Cheras Batu 11 masih giat dilaksanakan dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.
"Sehingga jam 11 pagi tadi, warga kerja Air Selangor masih lagi berada di lapangan LRA Cheras Batu 11 untuk memastikan operasi pembaikan dan pemulihan loji berjalan dengan lancar.
"Air Selangor sedang berusaha memastikan agar loji dapat berjalan seperti sediakala supaya pengguna di 28 wilayah Hulu Langat yang masih lagi terjejas dapat menggunakan air bersih dan selamat,” kata Air Selangor di laman Facebooknya pada Rabu.
Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.
Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.