Lapan termasuk empat penjawat awam samun RM1.13 juta diberkas

Iklan
Muhammad Idzam (tengah) melihat barang yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu termasuk empat penjawat awam ditahan disyaki terbabit kes samun berkawan dengan menggunakan senjata api serta melarikan wang tunai RM1.13 juta di parkir kereta Jalan Chan Sow Lin di sini pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 43 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 Disember lalu.

Iklan
Iklan

"Kita telah menerima laporan pada jam 7.48 malam daripada mangsa bersama rakannya yang mendakwa kejadian samun itu berlaku ketika mereka menjalankan transaksi penjualan jam tangan berjenama milik majikan mangsa.

"Ketika sedang mengira wang yang diterima daripada pembeli jam tangan, dua lelaki yang memakai 'vest' berlambang dan bertulis polis menaiki sebuah kereta dan dua lelaki menaiki motosikal telah menahan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Rabu.

Iklan

Muhammad Idzam berkata, salah seorang suspek telah mengeluarkan sepucuk pistol dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis

Katanya, kereta mangsa telah digeledah dan wang tunai berjumlah RM1.13 juta telah dirampas.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa ke Balai Polis Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

"Mangsa telah mengekori suspek, namun kenderaan yang dinaiki suspek telah menghilangkan diri," katanya.

Iklan

Muhammad Idzam berkata, pihaknya merampas dua motosikal jenis Honda RS150 dan Yamaha 15ZR, dua kereta jenis Perodua Myvi dan Honda Civic, wang tunai RM716,800 serta beberapa barangan yang telah dibeli oleh suspek dengan menggunakan hasil samun itu yang dianggarkan bernilai RM223,460.

"Salah seorang suspek turut menggunakan wang yang disamun itu untuk melangsaikan baki hutang keretanya yang bernilai RM90,970," katanya.

Muhammad Idzam berkata, empat suspek telah diberi jaminan polis, manakala empat lagi suspek masih direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.