Dewan Negara lulus 3 lagi RUU bawah KPDNHEP

Iklan
KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini meluluskan tiga lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-undang Paten (Pindaan) 2021, Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Petunjuk Geografi 2021.

Kesemua rang undang-undang itu masing-masing diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Rang Undang-undang Paten (Pindaan) 2021 antara lain bertujuan membenarkan mana-mana individu, pada bila-bila masa selepas pemberian paten untuk membuat permohonan lesen wajib bagi tujuan membuat dan mengeluarkan produk paten tersebut di Malaysia tanpa perlu mendapat kebenaran pemunya paten.

Rosol berkata, Akta Paten 1983 [Akta 291] digubal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memberi perlindungan pada paten dan pembaharuan utiliti menerusi pendaftaran.

Beliau berkata tempoh sah pendaftaran paten adalah selama 20 tahun dari tarikh pemfailan permohonan paten dengan syarat ia diperbaharui setiap tahun.

Sementara itu, Rosol ketika membentangkan Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 berkata pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332] adalah bagi memastikan undang-undang hak cipta yang dilaksanakan memberi perlindungan dengan lebih efisien dan efektif selaras dengan keperluan semasa bagi memenuhi kehendak komuniti perniagaan dan pihak-pihak yang berkepentingan.

Beliau berkata kementerian akan memastikan pindaan Akta 332 itu memberi perlindungan hak cipta yang sewajarnya termasuk melaksanakan pengecualian hak yang dibenarkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Pindaan ini juga sebagai persediaan bagi Malaysia untuk menyertai Marrakesh Treaty To Facilitate Access To Published Works For Persons Who Are Blind, Visually Impaired Or Otherwise Print Disabled (Marrakesh Treaty) bagi mengiktiraf hak OKU (Orang Kurang Upaya) penglihatan untuk mendapatkan karya dalam format boleh akses seperti yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 29 Okt lalu,” katanya.

Rosol ketika membentangkan Rang Undang-undang Petunjuk Geografi 2021 pula berkata rang undang-undang itu mempunyai 15 bahagian yang mengandungi 101 fasal satu jadual.

Beliau berkata, antara bahagian yang terkandung dalam rang undang-undang itu adalah Daftar Petunjuk Geografi dan Rekod Pendaftar; Tempoh Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran; Ejen Petunjuk Geografi dan Penyiasatan dan Penguatkuasaan.

Akta Petunjuk Geografi 2000 [Akta 602] digubal selaras dengan keperluan untuk melindungi petunjuk geografi yang berdaftar atau tidak berdaftar di Malaysia, selaras dengan Perjanjian Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPS) yang telah ditandatangani oleh Malaysia dan berkuat kuasa pada 1 Jan 1995.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama