PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) telah menyenaraikan enam atlet dalam pembentukan pasukan kebangsaan yang baharu dengan misi memburu pingat pada Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham tahun depan.
Enam atlet terbabit ialah Mohamad Aniq Kasdan yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (61kg), Muhammad Erry Hidayat (73kg), Mohd Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109+) dan Elly Cassendre Engelbert (55kg wanita).
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pembentukan pasukan baharu itu dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu mesyuarat yang diadakan bersama pada Ahad lalu.
"Seorang lagi atlet wanita akan dipanggil menyertai pasukan ini selepas mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari Institut Sukan Negara (ISN) berikutan kecederaan yang dialami.
"Skuad yang dibentuk ini adalah bertujuan membantu negara mendapatkan pingat pada Sukan SEA 2022 di Vietnam dan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.
Dalam kesempatan ini, saya mengharapkan agar semua atlet yang dipilih ini dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang serta mampu mengharumkan nama negara," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Ayub memberitahu, dua jurulatih sudah dinamakan untuk membantu pasukan kebangsaan dengan seorang jurulatih antarabangsa dan seorang lagi tempatan.
"Nama jurulatih berkenaan akan dimaklumkan sedikit masa lagi," ujarnya sambil memaklumkan pembentukan pasukan kebangsaan baharu itu akan berkuatkuasa pada 3 Januari 2022.
Dalam pada itu, Ayub berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang menggantung dua atlet - Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari selama empat tahun bemula 16 Julai lalu.
"Kami memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada ADAMAS untuk menguruskan kes berkenaan dan bertindak sebagai pemerhati dalam pengendalian proses itu," jelasnya.
Isu doping melanda dua atlet itu menyaksikan PABM dan MSN bersetuju membubarkan skuad sedia ada yang menyaksikan semua empat jurulatih dan 13 atlet terbabit diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November lalu.