TANAH MERAH - Seorang warga Thailand yang juga penoreh getah maut dipercayai ditimpa pokok tumbang dalam satu kejadian di Kampung Air Sejuk, Kelewek, di sini petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang itu, wanita berumur 36 tahun berkenaan dipercayai keluar rumah pada waktu pagi untuk menoreh getah seorang diri di kebun getah milik penduduk kampung tersebut.
"Mangsa didakwa tidak pulang ke rumah sehingga ke petang dan suami mangsa telah keluar mencari dan menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut dan hidung yang berdarah.
"Suami mangsa telah menghubungi Hospital Tanah Merah dan pemeriksaan yang dijalankan di tempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia.
"Setelah itu barulah suami mangsa menghubungi talian Mers 999. Pada masa itu kedudukan mangsa telah dialihkan dari tempat kejadian ke tepi jalan oleh suaminya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat sebatang kayu pohon getah yang telah reput berada di kawasan tempat mangsa terbaring, dipercayai tumbang dan menimpa mangsa.
Beliau berkata, semasa kejadian berlaku tiada individu lain bersama mangsa dan siasatan awal juga mendapati kematian mangsa tiada unsur-unsur jenayah.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.