Tujuh PATI cuba masuk Tawau ditahan

Iklan
Antara PATI yang ditahan ATB 2 selepas cuba menyeludup masuk ke dalam negara melalui perairan Tawau.

TAWAU - Sepasukan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau pada Selasa.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, tujuh individu berusia antara 5 hingga 47 tahun dipercayai menaiki sebuah bot dan naik ke darat melalui perairan sebuah perkampungan atas air di Batu 3, di sini.

Iklan
Iklan

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tindakan sekumpulan PATI Warga Indonesia itu dikesan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF).

Beliau memberitahu, Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama menggunakan motosikal dan sebuah pacuan empat roda telah mengesan sebuah bot dilihat dalam keadaan mencurigakan dan bergerak rapat ke perkampungan rumah atas air.

Iklan

"Bot yang membawa PATI itu kemudian beredar dari kawasan berkenaan dan tujuh PATI dilihat berlari menaiki sebuah kenderaan sedan jenis Toyota Corolla yang berada berhampiran kawasan itu.

"Dipercayai kenderaan itu digunakan oleh ejen untuk mengangkut PATI berkenaan. Tim QRF kemudian bertindak mengekori dan menahan kenderaan terbabit di hadapan sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Katanya lagi, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun dipercayai sebagai agen dan tujuh PATI termasuk dua kanak-kanak ditemui bersama barang persendirian mereka.

"Maklumat awal diperoleh dari tahanan memaklumkan bahawa mereka menaiki bot yang telah diurus oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau sebelum diambil oleh agen yang menunggu dengan menggunakan kenderaan darat menuju ke Bandar Tawau.

"Agen terbabit kemudian ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala semua PATI turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya," katanya.