SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan terjadinya gelombang kedua banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya akan menumpukan kekuatan anggota di seluruh negeri Selangor untuk membantu mangsa banjir dan sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurutnya, JBAM Selangor sudah membuat persiapan dari segi logistik dan kelengkapan serta peralatan yang diperlukan untuk menjalankan operasi semasa banjir.
"Kita memang dah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku lagi keadaan seperti ini.
"Kekuatan anggota kita kekalkan dan cuti anggota serta pegawai kita bekukan di seluruh negeri Selangor sehingga keadaan cuaca baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Rabu.
Norazam berkata, selain tugas-tugas rondaan untuk memastikan tiada lagi mangsa yang terkandas atau putus hubungan pihaknya turut menghantar bekalan makanan dan minuman kepada penduduk yang tinggal di kediaman masing-masing dalam kawasan banjir.
"Kita juga mengedarkan bekalan makanan kepada mangsa yang tidak keluar atau yang masih lagi berada di kawasan mereka.
"Mereka berada dalam kawasan agak jauh sekitar tiga kilometer (km) dari kawasan bantuan jadi kita hantar bekalan kepada mereka untuk makan dan minum,"katanya.
Tambah beliau, jumlah mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) masih tidak berkurang berikutan keadaan air yang masih belum surut sepenuhnya walaupun cuaca tidak hujan.
"Jumlah mangsa di PPS masih kekal kerana kebanyakan bahagian bawah rumah mereka masih ditakungi air sedalam antara satu hingga dua kaki selain keadaan cuaca yang tidak menentu," jelasnya.