SHAH ALAM - Ranhill Utilities Berhad dengan kerjasama kerajaan Persekutuan menyediakan dua unit 'MobiCell Super Efficient Mobile' dan 'Compact Water Treatment Plant' atau loji rawatan air bersih mudah alih bagi membantu mangsa banjir di Selangor.
Ranhill Utilities Berhad dalam kenyataan memaklumkan, loji rawatan air bersih mudah alih yang bersaiz 20 kaki persegi dan 40 kaki persegi itu bertindak untuk memproses air bersih untuk membantu menyediakan sumber alternatif air bersih terawat bagi kegunaan mangsa banjir.
"Loji rawatan air bersih mudah alih ini ditempatkan di sekitar kawasan Hulu Langat berikutan kawasan ini direkodkan antara kawasan yang terjejas teruk dan memberi kesan besar kepada ramai penduduk ekoran kejadian bencana banjir baru-baru ini," kata kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, loji rawatan air bersih mudah alih itu juga berupaya menghasilkan sebanyak 5,000 liter air bersih terawat dalam masa satu jam.
Tambah kenyataan tersebut, ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 isi rumah sehari untuk akses air bersih.
"Sistem yang digunakan oleh loji rawatan air bersih mudah alih ini adalah sama seperti sistem rawatan air bersih di loji rawatan air dan kualiti
air bersih terawat yang dihasilkan adalah menyamai kualiti standard air minum di Malaysia yang menjamin keselamatan bagi kegunaan mangsa-mangsa
banjir.
"Ini merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ranhill dan kerajaan Malaysia dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan akses air bersih untuk digunakan dalam keadaan yang sukar ini," ujarnya.