Seremban City BC enggan dabik dada

Iklan
Arena tampil konsisten menyumbang mata buat DSBC Labuan.

SELEPAS membelasah DSBC Labuan 12-4 dalam aksi pembukaan, pasukan Seremban City BC sekali lagi mencipta sensasi selepas membenam Bangi City BC 11-4 pada hari kedua saingan Kejohanan Badminton Top Glove Purple League Pro-Am 2021 pada Rabu.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan Seremban City BC di landasan terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Iklan
Iklan

Mereka memulakan rentak kemenangan melalui pasangan beregu campuran, Ng Wan Win-Tan Kok Xian yang menundukkan gandingan Najmi Kamarudin-Siti Farhanah Nabilah 11-7, 11-4, 11-10.

Namun, Bangi City BC enggan memberi laluan mudah buat Seremban City BC apabila pemain perseorangan lelaki mereka, Ikmal Aizat menewaskan Gagan Jit Singh 11-6, 11-10, 9-11, 11-9.

Iklan

Perseorangan wanita Seremban City BC, N Saranya menghadiahkan mata berharga buat pasukannya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan lawannya, Nurul Aisyah Ahmad 10-11, 11-5, 11-6, 11-5.

Pasangan adik beradik, Muhd Amar Sani-Muhd Amir Sani meranapkan impian Bangi City BC hasil kemenangan straight set ke atas lawan mereka 11-5, 11-9, 11-5.

Iklan

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pula dihentikan apabila gandingan beregu wanita Seremban City BC, Ng Qi Xuan-Nur Syaza Roshdi pula terpaksa menarik diri apabila Qi Xuan mengalami kecederaan pergelangan kaki pada set yang kedua.

Namun, ia tidak mengubah keputusan permainan apabila Seremban City BC jauh mendahului 1-4 selepas empat perlawanan.

Mengulas prestasi Seremban City BC, pengurus pasukan yang juga bekas pemain beregu kebangsaan, Zakry Abdul Latif enggan mendabik dada selepas dua perlawanan yang mereka lalui.

"Kami belum lagi berdepan dengan lawan yang kuat seperti Serdang BC dan Butterworth BC. Kami akan melakukan pertukaran pemain untuk perlawanan esok bagi menentang Serdang BC memandangkan hari ini ada sedikit kekurangan kepada pasukan.

"Serdang BC adalah satu pasukan yang kuat dan saya harap para pemain dapat mengekalkan prestasi yang sama untuk menewaskan mereka,” katanya.

Turut mencuri tumpuan ialah perseorangan wanita pasukan DSBC Labuan, Arena Satu Samin yang konsisten menyumbang mata setelah tiga perlawanan.

Arena yang pernah mengungguli saingan Siri Antarabangsa Remaja Singapura 2019 bangkit untuk menewaskan lawannya dari Serdang BC, Teh Won Quin 11-4, 8-11, 11-3, 11-6.

"Walaupun agak keletihan, saya gembira dapat menghadiahkan mata buat pasukan. Saya ingin kekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya sekali gus membantu pasukan meraih kemenangan,” jelasnya.

Perlawanan pada sebelah pagi pula menyaksikan Rawang BC menang selesa ke atas Jinjang BC 15-8 sementara Ampang Jaya BC menerima tentangan sengit daripada Bandar Maharani BC sebelum meraih kemenangan 12-10.

Saingan peringkat kumpulan diteruskan pada Khamis dengan Seremban City BC membuat perhitungan bersama Serdang BC selain perlawanan membabitkan Petaling Jaya BC dan Ampang Jaya BC.

Top Glove Purple League Pro-Am 2021 sedang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya dari 21 hingga 26 Disember.

Pertandingan berpasukan campuran itu akan dijalankan dalam format round robin dengan 2 pasukan setiap kumpulan akan layak untuk beraksi di peringkat separuh akhir.