SHAH ALAM - Dengan pelbagai kekangan seperti masalah anggota yang tidak cukup, aset yang terhad serta satu pasukan terpaksa respons kepada beratus-ratus panggilan kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tetap melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
Namun, masih ada segelintir masyarakat yang sanggup melemparkan tohmahan dan cercaan kepada pasukan berkenaan terutamanya dalam mengendalikan situasi banjir yang berlaku baru-baru ini.
Seorang anggota bomba, Mohamad Akmal Mohamad Khairi meluahkan kekecewaan dan sedih terhadap pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada anggota-anggota bomba yang bergadai nyawa menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.
Menurutnya, bila berlakunya bencana, memang panggilan kecemasan masuk bertalu-talu tanpa henti, itu tidak termasuk lagi panggilan ke telefon peribadi anggota dan pegawai, justeru agak mustahil untuk pihak bomba berada di 10 tempat berbeza dalam masa yang sama.
"Kami perlu bertugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan serta amalan kami sama seperti agensi lain yang akan mengutamakan keselamatan terlebih dahulu.
"Kami tidak boleh melakukan tugas menyelamat tanpa mengambil kira soal risiko pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan, apa yang terjadi pada tahun 2018 cukup memberi kesan mendalam kepada kami yang kehilangan enam sahabat seperjuangan serentak dalam tragedi tersebut, hanya ALLAH yang tahu hati kami.
"Bomba akan sedaya upaya membantu mengeluarkan mangsa dengan segala kudrat yang ada, kalau tiada bot kami guna sampan, kalau tiada sampan kami sanggup dukung dan pikul mangsa sehingga ke tempat selamat,” luahnya di Facebook.
Mengulas lanjut, Mohamad Akmal berkata, adakalanya bencana berlaku sangat luar biasa hingga membataskan tindakan menyelamat dan ketika itu, masa serta peluang adalah sangat terhad untuk membolehkan tindakan diambil.
"Kami tidak mampu memuaskan hati semua orang, cukup sedih bila ada yang sewenangnya melemparkan tohmahan dan cacian kepada kami hanya kerana geram kami lambat tiba atau tidak kunjung tiba.
"Anggota bomba sanggup mengambil risiko demi menyelamatkan nyawa yang dalam bahaya sehingga ada masanya nyawa mereka ibarat di hujung tanduk demi menyelamatkan mangsa.
"Pelbagai risiko terpaksa dihadapi seperti lemas, hanyut, dijangkiti kuman berbahaya, ditimpa atau dilanggar objek tajam namun, kami sanggup harungi semua itu demi tugas dan tanggungjawab,” ujarnya.
Tambah Mohamad Akmal, anggota bomba juga kelaparan, kesejukan, keletihan mental dan emosi tetapi demi menyelamatkan mangsa semua itu ditolak ke tepi.
"Kadang-kadang tiada langsung sikap menghargai mahupun ucapan terima kasih kepada kami, lebih teruk lagi apabila pengorbanan kami dibalas dengan cercaan seperti lambat, lembab, makan gaji buta dan macam-macam lagi.
"Kami terpaksa melupakan masa rehat, melupakan saat bersama isteri dan anak-anak dan terpaksa melupakan penat jerih kerana tugas belum berakhir.
"Wahai rakyat sekalian, anggota bomba juga manusia biasa yang ada keluarga, ada batas kemampuan, ada hati dan perasaan, maka fikirlah dahulu sebelum berkata-kata,” katanya.