Kemaskini maklumat peribadi melalui aplikasi THiJARI

Iklan
TH memberikan kemudahan kepada pendeposit untuk mengemaskini maklumat peribadi secara online menerusi aplikasi THiJARI.

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) terus menambah baik perkhidmatan dalam talian di mana pendeposit kini dapat mengemaskini maklumat peribadi menerusi aplikasi THiJARI tanpa perlu hadir ke pejabat TH cawangan bermula Rabu.

Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, TH telah menambah baik platform digital supaya pendeposit dapat mengemaskini maklumat peribadi secara online agar maklumat pendeposit sentiasa terkini dan memudahkan urusan mereka di masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendeposit kini dapat mengemaskini maklumat peribadi seperti gelaran, emel, alamat tetap dan surat menyurat, nombor telefon rumah dan pejabat, status perkahwinan, nombor akaun bank dan lain-lain yang boleh dirujuk di laman web TH.

"Sekiranya pendeposit mahu mengemaskini nombor telefon bimbit berdaftar, mereka hendaklah hadir ke pejabat TH cawangan berdekatan.

Iklan

"Ini adalah selaras dan mengambil kira polisi Bank Negara Malaysia berkenaan Electronic Know-Your-Customer (e-KYC) bagi tujuan pengesahan diri menggunakan teknologi yang dicadangkan bagi mengurangkan risiko transaksi secara maya atau tidak bersemuka selain memastikan pendaftaran nombor telefon bimbit adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH berkata, keutamaan giliran diberikan kepada pendeposit untuk mendaftar nombor telefon di pejabat TH Cawangan seluruh negara.

Iklan

Sehingga kini, THiJARI telah merekodkan purata 50,000 transaksi sehari dan sebanyak 1.5 juta transaksi sebulan, melibatkan nilai deposit lebih daripada RM200 juta melalui dalam talian.