PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memberikan pujian kepada penjaga gol simpanan, Caoimhin Kelleher atas aksi cemerlang yang dipamerkannya dalam saingan suku akhir berdepan Leicester City di Anfield, pada Khamis.
Ujar Klopp, penjaga gol kelahiran Ireland itu telah beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan selain menyelamatkan dua sepakan penalti lawan, termasuk sepakan penalti 'sudden death' bagi memastikan kemenangan The Reds.
"Dia sememangnya seorang penjaga gol yang cemerlang. Cukup cemerlang hasil latihan daripada dua jurulatih penjaga gol kami, John (Achterberg) dan Jack (Robinson).
"Selain itu, mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakana bahawa dia (Kelleher), seolah-olah telah menyelamatkan ‘nyawa’ kami dengan aksi-aksi hebatnya malam ini (Khamis).
"Apa pun bagi saya, kedua-duanya (John dan Jack) telah memainkan peranan cukup baik bagi memastikannya (Kelleher), bertindak cemerlang dan bakal muncul selaku penjaga gol yang baik satu hari nanti,” katanya.
Pada aksi suku akhir itu, Liverpool turun serba ‘tempang’ tanpa beberapa pemain tonggak kerana mengalami kecederaan dikejutkan menerusi dua gol awal menerusi Jamie Vardy pada minit ke-9 dan minit-13.
Alex Oxlade-Chamberlain kemudiannya merapatkan jurang pada minit ke-19 sebelum James Maddison meledak gol ketiga buat The Foxes menerusi James Maddison pada minit ke-33.
Separuh masa kedua menaksikan pemain gantian,Diogo Jota menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-68 sebelum bintang Jepun, Takumi Minamino menyamakan kedudukan pada masa kecederaan bagi mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Pada penentuan sepakan penalti berkenaan, Kelleher mempamerkan ketangkasannya apabila menyelamatkan dua sepakan penalti daripada Luke Thomas dan sepakan penalti sudden death daripada Ryan Bertrand sebelum Jota menyempurnakan sepakan penalti keenam bagi mengesahkan kemenangan The Reds.
Sementara itu, Kelleher berkata, dia cukup berpuas hati dengan aksi cemerlang yang dipamerkannya pada perlawanan berkenaan dan berharap dapat mengulanginya pada perlawanan akan datang.
"Saya benar-benar gembira dengan persembahan yang saya pamerkan, namun bagi saya kejayaan kami turut dibantu dengan kehadiran pemain-pemain senior pada separuh masa kedua di mana kehadiran mereka telah membantu menyemarakkan semangat pemain,” katanya.