Conte lega Spurs mara

Iklan
Pemain Tottenham Hotspurs, Lucas Moura (kanan), cuba melepasi kawalan pemain pertahanan West Ham, Declan Rice, pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte lega apabila skuad kendaliannya itu berjaya mara ke separuh akhir Piala Liga biarpun berdepan kesukaran sebelum menewaskan West Ham 2-1 pada Khamis.

Menurut Conte, kesemua pemain Spurs memberikan aksi terbaik bagi menghasilkan kemenangan berkenaan dan memastikan slot ke separuh akhir kali ini.

Iklan
Iklan

"Bagi saya kesemua pemain telah beraksi dengan baik, namun setelah menjaringkan gol pendahuluan mungkin nasib sedikit tidak menyebelahi kami apabila kami dibolosi satu gol.

"Bagaimanapun, kami berjaya bangkit dalam masa singkat dan menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan bagi perlawanan ini. Secara keseluruhannya, kami memang berhak untuk menang atas aksi hebat semua pemain kali ini,” katanya.

Iklan

Pada perlawanan berkenaan, Steven Bergwijn membuka jaringan buat skuad The Lilywhites itu pada minit ke-29 sebelum pemain The Hammers, Jarrod Bowen menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Bagaimanapun, Lucas Moura kemudiannya meledak gol kedua Spurs pada minit ke-34 dan seterusnya memastikan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Iklan

Kemenangan itu menyaksikan Spurs bakal berdepan Chelsea pada aksi separuh akhir pertama yang dijadualkan berlangsung pada 4 Januari manakala bagi aksi separuh akhir kedua pada 11 Januari 2022 kelak.

Mengulas aksi berdepan Chelsea kelak, Conte menjangkakan skuad kendaliannya itu bakal diberikan tentangan sengit daripada The Blues yang sudah pasti mahu merebut slot beraksi ke final.

"Bagi saya, perlawanan ini akan berlangsung dengan sengit kerana sebagai pasukan yang dibarisi ramai pemain handalan dunia, sudah pasti Chelsea mahu berada di final.

"Apa pun, kami akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik ketika berdepan mereka nanti,” katanya.