ANKARA - Turki pada Rabu telah melancarkan pengeluaran besar-besaran vaksin Covid-19, Turkovac selepas mendapat kelulusan penggunaan kecemasan.
Menurut Agensi Anadolu, Turki memulakan kajian untuk mengeluarkan vaksin buatan sendiri sebaik kes Covid-19 pertama negara itu dilaporkan pada Mac 2020.
Proses membangunan Turkovac bermula pada April 2020, kajian praklinikal telah berjaya dimuktamadkan pada Oktober tahun yang sama.
Fasa satu kajian fasa dimulakan pada bulan berikutnya melibatkan 44 sukarelawan manakala fasa dua dilancarkan pada 10 Februari 2021 dengan penyertaan 250 sukarelawan.
Data kajian untuk kedua-dua fasa itu menunjukkan hasil yang positif dan pihak berkuasa kemudian melancarkan fasa tiga.
Di bawah fasa tiga, dos pertama vaksin telah diberikan pada 22 Jun 2021 yang turut disertai Presiden Recep Tayyip Erdogan, sekali gus mengumumkan nama vaksin itu sebagai Turkovac.
Beribu-ribu sukarelawan yang tidak dijangkiti Covid-19 atau telah mendapat vaksin sebelum ini, disuntik dengan Turkovac sebagai sebahagian kajian untuk fasa tiga.
Pada Oktober lepas, Turkovac digunakan sebagai dos penggalak. Sukarelawan yang sebelum ini menerima dua dos vaksin Sinovac, diberikan dos penggalak sama ada Turkovac atau Sinovac bergantung kepada pilihan mereka. - Bernama