SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Seramai 200 sukarelawan yang terdiri daripada gabungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turun padang bagi membantu Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam pada Khamis.
Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pihaknya sepatutnya bergerak ke Melaka bagi program Konvoi #RasuahBusters di seluruh negara bermula 9 Disember sehingga 1 April 2022.
Namun menurutnya, program tersebut ditukar berikutan musibah banjir yang berlaku di beberapa buah negeri sejak Sabtu lalu.
"Hari ini Rasuah Busters bersama pasukan gabungan turun padang untuk melakukan pemulihan bermula di surau yang agak teruk.
"Sebelum ini, sepatutnya misi kita adakan Konvoi #RasuahBusters di seluruh negara bermula 9 Disember sehingga 1 April 2022.
"Tetapi disebabkan musibah yang melanda, mesej Rasuah Busters kita juga akan turut menyantuni rakyat di akar umbi sama dengan objektif sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata, misi tersebut akan diteruskan di sekitar Selangor selama empat hari.
"Sepanjang empat hari ini, kita akan sasarkan lokasi yang terjejas teruk. Kita akan terus bergerak sebab misi kita bukan sekadar pemulihan di lokasi, tetapi turut melibatkan emosi mangsa banjir.
"Insya-ALLAH kita ke akar umbi untuk bangkitkan nilai moral bangsa kita kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pada misi ini, pihaknya dengan kerjasama wakil-wakil NGO daripada Kumpulan Karangkraf sendiri iaitu Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Grup Buku dan gabungan Rasuah Busters membantu membersihkan Surau al-Hassany.
Menurutnya, pihaknya memilih untuk membersihkan surau bagi membolehkan kawasan itu menjadi tumpuan sementara penduduk di sini yang dilanda musibah banjir.
"Ketika ini, kami hadapi masalah air, namun semuanya akan selesai selepas mendapat kerjasama daripada pihak swasta yang akan menghantar lori tangki air. Insya- ALLAH, semuanya akan berjalan lancar," katanya.