Banjir: Selangor perlu sukarelawan, lori

Iklan
Amirudin meninjau operasi pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Padang Jawa, pada Khamis susulan kejadian banjir baru-baru ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memerlukan bantuan sukarelawan dan lori bagi mempercepat dan melancarkan operasi pembersihan dan membawa keluar sampah pukal di kawasan yang terjejas dengan banjir.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan sukarelawan diperlukan untuk mengutip sampah-sampah daripada rumah penduduk yang tidak boleh dimasuki lori sampah KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) yang merupakan syarikat penuh milik kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Saya harap kalau sukarelawan yang nak datang ke Selangor selain nak bagi bantuan makanan dan selamatkan orang, boleh tolong untuk bantu bawa sampah dari rumah-rumah yang terletak di lorong kecil untuk dibawa ke jalan besar. Sampai di jalan besar, anggota KDEB akan ambil.

"Sekarang kita ada lebih 1,200 anggota dan pegawai KDEB menyelesaikan (isu sampah pukal selepas banjir ini). Tapi kalau nak masuk ke lorong-lorong (kawasan perumahan), mungkin kita perlukan ramai (tenaga kerja),” katanya pada pemberita selepas meninjau keadaan pascabanjir di Padang Jawa di Seksyen 16, pada Khamis.

Iklan

Amirudin turut mengalu-alukan bantuan lori bagi mengangkut sampah untuk mempercepatkan proses pembersihan di kawasan yang terjejas.

"Lori sampah kita sudah ada lebih 400 buah di seluruh negeri Selangor untuk angkat sampah ini keluar. Kalau ada nak bagi lori pun boleh, kita sangat hargai kalau nak bagi (bantuan) lori. Semakin banyak ada lori, semakin banyak kita dapat keluarkan sampah,” katanya.

Iklan

Pada masa sama Amirudin berkata, beliau telah meminta waktu pengoperasian kawasan pelupusan sampah Jeram Sanitary Landfill di Jeram, Kuala Selangor dilanjutkan daripada pukul 8 malam sehingga 11 malam bagi mengelakkan waktu menunggu panjang lori sampah untuk membuang sampah pukal banjir di fasiliti itu.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, pihaknya sedang mengenal pasti satu lokaliti untuk menempatkan kereta yang tersadai khususnya di tepi-tepi jalan raya dan lorong sekitar negeri tersebut ekoran banjir. - Bernama