Banjir: JKNP sedia 174 pasukan perubatan

Iklan
Petugas kesihatan turut ditempatkan di PPS untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Pahang. - Foto JKNP

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyediakan 174 pasukan perubatan dan 130 pasukan kesihatan bagi tujuan pemantauan aktiviti perubatan dan kesihatan dalam tempoh banjir di negeri ini.

Sehingga kini, JKNP telah membuat pemeriksaan dan saringan ke atas 19,619 individu namun tiada kejadian atau penyakit luar biasa dikesan khususnya di pusat pemindahan sementara (PPS).

Iklan
Iklan

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, walaupun berdepan kekangan termasuk kekurangan petugas kesihatan namun mobilisasi dalaman telah dilakukan bagi memastikan perkhidmatan sebahagian besar operasi di hospital dan klinik berjalan seperti biasa.

Menurutnya, sebanyak 41 klinik kesihatan termasuk klinik desa di negeri ini terputus hubungan namun semuanya beroperasi seperti biasa dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.

Iklan

"Seramai 1,671 warga jabatan ini turut terjejas dengan banjir di mana 552 daripada mereka menjadi mangsa banjir," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Nor Azimi berkata, JKNP telah membuka bilik gerakan banjir bermula 18 Disember lalu selepas semua daerah terjejas teruk dengan banjir kecuali Rompin dan Cameron Highlands.

Iklan
Operasi klinik kesihatan di negeri Pahang berjalan seperti biasa walaupun berdepan kekangan petugas. - Foto JKNP

"Dalam situasi banjir ketika ini, mangsa-mangsa yang berada di PPS dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak penularan wabak itu.

"Kita akui sangat sukar memandangkan bilangan mangsa yang sangat ramai di sesetengah PPS namun cubalah setakat termampu bagi mengelak wujud kluster Covid-19 di pusat pemindahan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan bekalan air dan makanan dari sumber yang bersih.

"Air banjir yang kotor dikhuatiri tercemar dan boleh membawa risiko jangkitan penyakit seperti leptospirosis, meliodosis, keracunan makanan, tifoid dan kolera.

"Selain itu, suasana PPS yang padat amat berisiko kepada jangkitan seperti cacar air, demam campak dan juga penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD)," katanya.