SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) berjaya mengeluarkan sebanyak 600 tan sampah di Kampung Padang Jawa di sini dalam tempoh tiga hari.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berharap jumlah kutipan itu akan meningkat dalam tempoh terdekat apabila air mula surut di lebih banyak lokaliti-lokaliti lain.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan di Sungai Lui, Hulu Langat juga telah dimulakan semenjak Isnin lalu dan pada Khamis KDEBWM akan ke kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam apabila air mulai surut sepenuhnya.
"Kita juga berharap sukarelawan yang datang boleh membantu terutamanya mengeluarkan sampah dari rumah dan lorong-lorong kerana pegawai kita tidak cukup.
"Sukarelawan yang kita ada dapat mengeluarkan sampah untuk memudahkan KDEBWM memungut dan mengeluarkan semua sampah yang ada ke bahagian depan (jalan besar).
"Kita sasarkan proses ini (berjalan) dalam tempoh seminggu hingga kedua minggu, kita lihat keadaan dan ia bergantung juga kepada kadar air surut," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi pembersihan KDEBWM Pasca Banjir di Padang Jawa, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han dan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir.
Sementara itu, Ramli berkata, KDEBWM berdepan cabaran dalam menguruskan kutipan sampah domestik sebagaimana kebiasaannya di seluruh negeri itu selepas banjir surut.
Katanya, selain diarahkan untuk mengutip sampah di pusat pemindahan sementara (PPS), pembersihan darurat seperti banjir kilat juga perlu dilaksanakan di kesemua lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita juga membawa lori-lori yang kawasannya stabil seperti di Hulu Selangor, Sepang dan juga di Sabak Bernam untuk membantu di Shah Alam, Klang, Kajang dan juga mana-mana kawasan yang memerlukan pembersihan dengan kadar segera," katanya.
Beliau berkata, walaupun mengambil sedikit masa namun pihaknya akan bekerja lebih masa untuk memastikan proses kutipan sampah berjalan dengan lancar.
"Mungkin Khamis depan (selesai) Insya-ALLAH kalau tak hujan balik, penduduk dah keluarkan barang, kita akan cuba masukkan lori yang kita ada dengan kekuatan pekerja, kita akan cuba selesaikan.
"Operasi kerja di tapak pelupusan juga dipanjangkan sehingga jam 11 malam sebab pekerja kita juga perlu tidur, jam 5 pagi sudah perlu masuk ke kawasan semula, ini bukan kerja ringan," katanya.
Dalam perkembangan sama, setakat jam 9 malam pada Rabu KDEBWM mengangkut sebanyak 2,064 tan metrik sampah melibatkan 487 tong 'roll-on roll-off' (RORO), 29 'backhoe' dan 1,274 pekerja bagi operasi pembersihan di lapan daerah terjejas banjir.
Malah usaha ini giat dijalankan bersama bantuan petugas agensi serta kerjasama sukarelawan.