Tubuh suruhanjaya bencana, teliti semula dasar: Anwar

Iklan
Anwar ketika ditemui selepas Majlis Pemantapan Pilihan Raya PKR Kedah di Pantai Merdeka di sini pada Khamis.

KUALA MUDA - Kerajaan perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi meneliti semula seluruh dasar dan peranan agensi berkaitan dalam menghadapi serta menguruskan bencana di negara ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan persediaan menghadapi banjir dapat dilaksanakan secara tersusun dan proses membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bencana banjir yang berlaku ketika ini memperlihatkan bantuan kepada mangsa sangat perlahan sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka.

"Harus ada suruhanjaya untuk teliti semula seluruh dasar peranan dan tindakan diambil supaya tidak berulang. Dalam hal ini banjir bukan perkara baharu di Malaysia.

Iklan

"Jadi semua kena jawab, Menteri Pertahanan, Perdana Menteri dan menteri yang lain, nak pergi buat lawatan VVIP buat apa, itu lawatan bantu orang kerja bukan orang susah.

"Saya masih ingat, semasa saya sebagai Timbalan Perdana Menteri, ketika banjir pada tahun 1995, malam itu juga diadakan Mesyuarat Khas dan buat keputusan, malam itu kita kerah tentera turun," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemantapan Pilihan Raya PKR Kedah di Pantai Merdeka di sini pada Khamis.

Iklan

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tanggungjawab dalam pengurusan bencana banjir ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan, tetapi juga peranan kerajaan negeri dan petugas di peringkat daerah

"Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu yang menyalahkan agensi penyelamat seperti pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lewat bertindak.

"Kalau kerajaan bagi arahan cepat dan jelas, mereka (anggota ATM serta JBPM) akan keluar. Masalahnya adalah kepimpinan bukan sahaja lembab tapi turut menyebabkan penyaluran makanan lambat sampai," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan bencana banjir terutamanya di Selangor.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sentiasa telus dan tidak boleh menuding jari serta menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya, pengajaran perlu diambil dalam menghadapi bencana sama pada masa akan datang.