KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) dijangka meluluskan sebanyak 20,000 permohonan bagi skim pembiayaan BSN MyRinggit-i Banjir yang ditawarkan kepada mangsa banjir yang berlaku baru-baru ini.
Ketua Pegawai Perniagaannya Mujibburrahman Abd Rashid berkata, permohonan tersebut dibuka kepada mereka yang terkesan di seluruh negara, tidak terhad kepada yang berada di Lembah Klang sahaja.
"Kami menjangka sebanyak 20,000 permohonan akan diluluskan. Bantuan tersebut dapat meringankan sedikit beban mereka yang ditimpa banjir,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Mujibburrahman berkata, proses menilai dan meluluskan permohonan skim pembiayaan itu akan diberi keutamaan dan dilakukan secepat mungkin.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat inisiatif yang akan dilaksanakan agensi kerajaan dan sektor perbankan bagi meringankan beban rakyat dan peniaga Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan banjir.
Ini termasuk MyRinggit-i Banjir, pembiayaan peribadi dengan ciri-ciri mudah yang ditawarkan BSN untuk meringankan beban mangsa bagi membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah.
Mujibburrahman berkata, skim tersebut menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM5,000 tanpa faedah untuk tempoh pembiayaan 3.5 tahun termasuk moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.
Beliau memberitahu, permohonan akan dibuka bermula 27 Disember ini secara dalam talian dan proses permohonan akan dimaklumkan sebelum tarikh tersebut.
"BSN juga turut menawarkan penangguhan ansuran bulanan pembiayaan termasuk kemudahan pembiayaan, pinjaman peribadi, perumahan, sewa beli dan kad kredit untuk pelanggan individu serta pembiayaan dan pinjaman kepada perusahaan mikro yang terkesan akibat banjir.
"Selain itu, pengecualian caj diberikan untuk perkhidmatan penggantian kad debit dan kad kredit BSN yang hilang atau rosak semasa banjir,” katanya.
Pelanggan BSN dinasihatkan sentiasa menyemak notis pemberitahuan penutupan cawangan bank disebabkan banjir yang dikemas kini dari masa ke masa. - Bernama